Kenaikan kos ECRL mungkin untuk bayar hutang 1MDB, kata Jomo


Bede Hong

Jomo Kwame Sundaram mengulas tentang projek ECRL pada majlis pelancaran buku Till Debt Do Us Part oleh Profesor Mohd Nazari Ismail dari Universiti Malaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2018.

KOS pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mungkin akan dinaikkan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata salah seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan Jomo Kwame Sundaram.

Exim Bank dari China membiayai 85% pembinaan laluan kereta api sejauh 688 kilometer itu dengan kerajaan Malaysia membayar baki 15% kos yang dianggarkan berjumlah RM8.25 bilion.

Jun lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan terdahulu meminjam sebanyak RM55 bilion dari China dengan syarikat China Communications and Construction Co (CCCC) dilantik sebagai kontraktor utama.

Jomo berkata walaupun laluan kereta api itu bermanfaat untuk pengangkutan kargo di pantai timur, projek berkenaan tidak pernah dilaksanakan dari awal lagi.

“Seluruh projek itu yang asalnya bernilai RM28 bilion, tidak pernah dibiayai.

“Faktanya kos akhir projek itu adalah RM81 bilion. Jika ditambah dengan faedah, ia akan menjadi lebih RM100 bilion,” katanya pada majlis pelancaran buku Till Debt Do Us Part oleh Profesor Mohd Nazari Ismail dari Universiti Malaya hari ini.

“Inilah hutang yang ditanggung. Anda mungkin bertanya kenapa jumlahnya meningkat tiga kali ganda berbanding kos asal RM28 bilion?”

“Untuk itu, mungkin beliau yang berkelulusan Wharton School of Finance atau tuannya boleh menjawab,” katanya sambil merujuk kepada Low Taek Jho dan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Ada kemungkinan bahawa hutang yang ditanggung adalah untuk membayar hutang 1MDB.

“Ada keperluan untuk membayar hutang dan sudah pastinya untuk membiayai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Jadi saya syak ia adalah sebahagian daripadanya,” katanya. – 14 September, 2018.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen