Kontroversi PD adalah soal akademik, kata Azmin


Jason Santos

Timbalan Presiden PKR Azmin Aliberkata isu berkenaan kini menjadi soal akademik memandangkan keputusan telah dibuat berhubung perkara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2018.

AZMIN Ali enggan memanjangkan kontroversi ‘Langkah Port Dickson’, susulan amaran aktivis Ambiga Sreenevasan berhubung amalan nepotisme dalam Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden PKR itu berkata isu berkenaan kini menjadi soal akademik memandangkan keputusan telah dibuat berhubung perkara itu.

Katganya sudah tiba masa untuk bekerja keras mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson pada pilihan raya kecik (PRK) akan datang.

“Itu merupakan pandangan Ambiga dan orang awam tetapi fokus saya adalah bersama rakan dalam parti dan PH. Kami mahu memastikan PH mengekalkan kerusi Port Dickson.

“Jadi kami akan menggerakkan semua jenteri dari seluruh negeri (Negeri Sembilan) untuk memastikan bukan saja kemenangan dicapai tetapi menerusi majoriti yang lebih baik,” katanya kepada pemberita semasa lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Kota Kinabalu hari ini. 

Dalam perkembangan lain, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata perbincangan lanjut akan diadakan dengan kerajaan negeri Sabah bagi membincangkan soal royalti minyak dan pendapatan.

“Kita akan terus berbincang dan saya akan bertemu Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal esok pagi.

“Kerajaan Persekutuan kini lebih terbuka untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membawa pembangunan ke Sabah,” katanya.

Terdahulu Azmin menghadiri sesi penerangan dari Unit Perancangan Ekonomi Sabah dan menekankan beberapa perkara perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya Putrajaya akan menyelesaikan isu seperti gangguan bekalan air, elektrik dan kekurangan kemudahan lain.

“Saya juga difahamkan tentang isu keselamatan yang dibangkitkan oleh beberapa agensi. Tahap keselamatan amat penting bagi memastikan sektor pelancongan Sabah terus meningkat,” katanya.

Sabah berdepan ancaman penculikan sejak beberapa tahun lalu, sekali gus membangkitkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di negeri itu. – 14 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen