Mesej KPN kepada Azmin: Silakan, kita jumpa di mahkamah


Muzliza Mustafa

KETUA Polis Negara (KPN) Khalid Abu Bakar hari ini berkata Azmin Ali boleh teruskan hasratnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana beliau tidak akan melayan desakan menteri besar Selangor itu untuk menahan Jho Low.

Azmin menghantar surat notis tuntutan terhadap Khalid mendesak penahanan ahli perniagaan Malaysia yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Peguam Azmin, Latheefa Koya berkata surat itu dihantar dua tahun lalu untuk menggesa KPN meminta bantuan Interpol dalam menahan dan mengekstradisi Low.

Khalid diberikan 14 hari untuk membalas surat itu, dan jika gagal, tindakan undang-undang akan diambi.

Khalid berkata beliau tidak akan memberi respons terhadap tuntutan Azmin kerana siasatan terhadap 1MDB masih berjalan.

“Saya tidak mahu jawab desakannya. Jadi, ambillah tindakan mahkamah, saya tunggu, tak gaduh,” katanya di Maktab Diraja Polis di Cheras, malam ini.

Beliau berkata Azmin boleh meneruskan tindakan undang-undang sebaik saja tempoh 14 hari itu tamat.

Latheefa berkata anak guamnya menghantar surat tuntutan itu berdasarkan kepada Low disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Katanya, Malaysia patut bekerjasama dengan Interpol untuk mengeluarkan notis merah kepada Low.

Peguam N. Surendran berkata Azmin akan memulakan tindakan mahkamah jika KPN gagal mengambil tindakan sewajarnya.

Low, yang tidak diketahui di mana berada, dikaitkan terbabit dalam skandal 1MDB di mana berbilion ringgit diselewengkan beberapa individu tertentu.

Bagaimanapun, Low menafikan semua dakwaan yang dikenakan terhadapnya. – 3 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen