DR Mahathir Mohamad menyokong Anwar Ibrahim untuk pilihan raya kecil Port Dickson, namun menyatakan tidak akan turun berkempen untuknya.
Perdana menteri berkata beliau biasanya tidak turun berkempen untuk pilihan raya kecil, tetapi memberi lampu hijau kepada Anwar untuk bertanding.
“Saya beritahu Anwar saya biasanya tidak berkempen untuk pilihan raya kecil, tetapi saya menyokong kempennya,” kata Dr Mahathir pada sidang media hari ini.
Katanya, Anwar memaklumkan kepadanya mengenai beliau akan bertanding di Port Dickson ketika bekas timbalan perdana menteri itu berada di Hong Kong minggu lalu.
Dr Mahathir juga berkata beliau sedia maklum dengan reaksi umum selepas pengumuman KR namun belau enggan menyatakan pendiriannya.
“Kami sedia maklum dengan reaksi umum dan pihak lain berhubung perkara ini,” katanya.
Ditanya sekiranya beliau merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk Anwar mengadakan pilihan raya kecil, beliau berkata beliau tidak perlu kata apa-apa.
“Saya tiada pendapat tentang itu,” kata Dr Mahathir.
Terdahulu hari ini, Bersatu bahagian Port Dickson memberi amaran kepada naib presiden PKR Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani agar tidak berkempen untuk Anwar di Parlimen itu.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menolak ancaman tersebut kerana ahlinya bertindak di luar batasan.
“Itu pandangan bahagian, adakalanya ahli tidak mengikut peraturan kita,” katanya.
Pada Rabu, penyandang kerusi itu Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson berkuatkuasa serta merta bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen itu. – 14 September, 2018
Komen