Polis, patologi berpakat sembunyi faktor kematian tahanan, kata peguam


Christopher Rabin

Peguam N. Surendran mengulas tentang kes kematian tahanan dalam lokap pada majlis pelancaran laporan "5 Faces: A story of police custodial deaths in Malaysia" oleh Lawyers for Liberty di Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 September, 2018.

KERAJAAN terdahulu didakwa membenarkan polis dan ahli patologi untuk ‘menutup sebelah mata’ bagi melindungi pelaku kes kematian tahanan lokap.

Peguam N. Surendran berkata wujud ‘pakatan saling melindungi’ antara polis dan kerajaan (Barisan Nasional), dan patologi kerajaan turut terlibat untuk kes berkenaan.

“Pakatan antara dua pihak ini seperti, kamu (polis) perlu melindungi kami (kerajaan) daripada perbalahan politik dan kami tidak akan menyoal tentang kamu.

“Manakala patologi kerajaan mempertahankan polis yang berasal dari sistem dan latarbelakang yang sama,” kata bekas ahli Parlimen Padang Serai dari parti PKR itu.

“Kejadian ini berleluasa semasa era Barisan Nasional (BN), tetapi perkara ini perlu berubah dengan cepat. Perkara ini dilihat amat normal untuk pelbagai jabatan membantu antara satu sama lain bagi menutup kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran laporan “5 Faces: A story of police custodial deaths in Malaysia” oleh Lawyers for Liberty di Petaling Jaya hari ini.

Peguam Eric Paulsen dari Fortify Rights berkata empat daripada lima staf perubatan tidak jujur dalam laporan dokumen rasmi untuk menyembunyikan kes penderaan tahanan oleh polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 September, 2018.

Seorang lagi peguam Eric Paulsen dari Fortify Rights mengulas tentang kelemahan laporan bedah siasat yang melibatkan kematian tahanan lokap seperti yang ditekankan dalam laporan itu.

Beliau menegaskan bahawa kakitangan perubatan yang silap pada pihak polis, menafsirkan mereka memihak apabila kemungkinan besar pihak polis bertanggungjawab.

Laporan bedah siasat yang berasingan kemudiannya menunjukkan salah laku polis.

“Sebagai patologi, (jika) anda menyembunyikan kesalahan polis, anda juga berdepan masalah. Mereka perlu mengetahui integriti tugas masing-masing,” katanya.

Beliau turut mendedahkan tentang siasatan disiplin oleh Majlis Perubatan Malaysia terhadap ahli patologi kerajaan yang didapati memalsukan dokumen tetapi dikenakan hukuman ringan.

Paulsen berkata terdapat seorang patologi yang didakwa atas kecuaian dan mengabaikan tanggungjawab mereka kerana gagal melakukan tugas dengan betul tetapi tidak dikenakan hukuman setimpal.

“Jika perkara ini berlaku di negara lain, hukuman yang lebih berat akan dikenakan,” katanya.

Katanya, satu lagi kes melibatkan pakar patologi merayu untuk bebas daripada sebarang tuduhan salah laku dan mendakwa menerima maklumat salah dari polis.

“Kes ini menunjukkan pembaharuan perlu dilaksanakan dalam sistem bedah siasat,” katanya.

Kira-kira 284 tahanan meninggal dunia ketika dalam tahanan polis sejak 2000 hingga 2016. Laporan yang disiarkan hari ini melibatkan kes berprofil tinggi seperti A Kugan, Karuna Nithi, C Sugumar dan S. Balamurugan yang mati dalam tahanan polis.

Ahli Jawatankuasa Pembaharuan Institusi Ambiga Sreenevasan, yang turut hadir, berkata kes kematian tahanan dalam lokap memerlukan jawapan.

“Jelas terdapat satu lagi sistem memain peranan walauun sistem perundangan kita kelihatan berjalan lancar,” katanya. – 14 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen