Keluarga mangsa tahanan mati dalam lokap masih sukar terima kenyataan


Christopher Rabin

Sebahagian ahli keluarga kepada tahanan yang mati dalam lokap ketika menghadiri majlis pelancaran '5 Faces' yang melaporkan kematian lima tahanan polis oleh Lawyers for Liberty. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 September, 2018.

SUDAH hampir sedekad tetapi kes kematian A. Kugan ketika dalam tahanan polis masih belum dapat dilupakan oleh ahli kelurga mangsa.

Abang Kugan, Iswara berkata keluarganya masih terkilan dengan misteri kematian mangsa pada 2009 dan cara pihak berkuasa mengendalikan kes tersebut.

Ketika ditemui The Malaysian Insight selepas pelancaran ‘5 Faces’, satu laporan komprehensif berhubung lima kematian dalam tahanan polis yang dikeluarkan oleh Lawyers for Liberty, Iswara berkata keluarganya berharap agar perkara yang sama tidak akan berulang lagi.

“Permintaan kami amat mudah. Kami tidak mahu perkara ini berlaku kepada orang lain. Seluruh keluarga masih terasa kehilangannya (Kugan).

“Polis mengambil sikap bersahaja ketika memaklumkan kematian adik saya kepada keluarga,” katanya mengulas tentang cara polis mengendalikan kes mereka.

Kugan ditahan pada 14 Januari 2009 kerana disyaki mencuri kereta. Mangsa ditemukan mati dalam tahanan selepas enam hari ditahan di Balai Polis Taipan di Subang Jaya.

Seorang konstabel polis Navindran Vivekanandan dipenjara tiga tahun pada 2012 atas kesalahan menyerang Kugan.

Bagi ahli keluarga seorang lagi mangsa yang mati dalam tahanan, S. Balamuguran, tindakan polis untuk menyembunyikan hal tersebut masih segar dalam ingatan.

Abang mangsa Balraj berkata polis mengambil masa yang lama untuk memaklumkan hal kematian Balamuguran kepada keluarganya.

“Kami pergi ke balai polis untuk membebaskannya, tetapi polis memaksa kami untuk menunggu seharian atas alasan pegawai penyiasat masih bercuti dan mereka memerlukan tandatangan untuk pembebasan Balamurugan,” katanya.

“Kami menunggu sehingga pukul 12 malam,” katanya.

Ahli keluarga kepada tahanan yang mati dalam lokap membaca laporan 5 Faces yang dilancarkan oleh Lawyers for Liberty. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 September, 2018.

Bagaimanapun mereka dikejutkan dengan berita kematian Balamurugan apabila polis memaklumkan lelaki itu meninggal dunia akibat masalah jantung.

Namun laporan bedah siasat yang kedua menunjukkan punca kematian Balamurugan akibat penyakit arteri koronari selain kesan kecederaan akibat dihentak benda tumpul”.

Dua pegawai kanan polis didakwa atas kesalahan menahan Balamurugan secara tidak sah dan menyebabkan kecederaan ke atas mangsa untuk mendapatkan pengakuan.

Perkara yang paling menyakitkan keluarga mangsa adalah kegagalan polis membawa Balamurugan ke hospital walaupun diarahkan berbuat demikian oleh mahkamah majistret Klang.

Balamurugan ditahan pada 6 Februari 2017 bersama dua lagi suspek ketika memandu sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk mencuri kereta.

Sehari selepas ditahan, Balamurugan dibawa ke mahkamah majistret Klang untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Ketika di mahkamah, mangsa tidak mampu berjalan dan berdiri ketika bersemuka dengan majistret.

Menyedari keadaan mangsa, majistret menolak permohonan reman dan mengarahkan Balamurugan untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Di sebalik mematuhi arahan mahkamah, pegawai polis terbabit berpakat untuk memalsukan siasatan terhadap mangsa.

Pada pukul 11 petang yang sama, Balamurugan ditemukan tidak sedar di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara. Kematiannya disahkan sejam kemudian.

“Saya mahu individu yang bertanggungjawa ditahan dan dihadapkan ke muka pengadilan,” kata Balraj. – 14 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen