Badan Peguam adakan EGM bincang lanjutan perkhidmatan ketua hakim


Bede Hong

Presiden Majlis Peguam George Varughese (tengah) membawa satu usul untuk dibahas dan diundi dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Badan Peguam hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Ogos, 2017.

BADAN Peguam hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) membincangkan isu lanjutan perkhidmatan Ketua Hakim Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Seramai 870 peguam membahaskan dua usul yang akan diundi dalam EGM yang bermula pada jam 4.25 petang tadi.

Usul pertama dicadangkan oleh Presiden Majlis Peguam George Varughese dengan tajuk “Usul Menegakkan Kedaulatan Perlembagaan Persekutuan  dan Mempertahankan  Kebebasan dan Integriti Badan Kehakiman.”

Usul kedua dicadangkan oleh peguam-peguam pula menyentuh melindungi kebebasan kehakiman serta  jaminan jawatan dan pelantikan hakim kekal utuh dan tidak terjejas. 

Peguam-peguam daripada Badan Peguam Malaysia hampir sebulat suara meluluskan usul tidak percaya berhubung lanjutan tempoh jawatan dua hakim kanan dalam mesyuarat agung khas yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

Hanya empat daripada peguam yang hadir membantah usul yang menyifatkan lanjutan lantikan Ketua Hakim Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai “tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.”

Resolusi yang dipinda itu juga menyekat sebarang interaksi sosial antara anggota badan peguam dengan hakim-hakim. Ia diluluskan oleh 397 peguam.

Dua hakim berkenaan dilantik sebagai hakim-hakim tambahan di Mahkamah Persekutuan pada 7 Julai melalui satu pengumuman oleh Jabatan Perdana Menteri pada 7 Julai. Lantikan itu melanjutkan tempoh jawatan kepada tambahan masing-masing tiga dan dua tahun.

Pengumuman itu menjelaskan pelantikan Md Raus dan Zulkefli dilakukan atas cadangan bekas ketua hakim sebelum ini Arifin Zakaria yang bersara pada 30 Mac 2017.

Dalam mesyuarat petang tadi, tiada peguam yang membantah usul asal yang dikemukakan oleh Presiden Majlis Peguam George Varughese.

Usul itu menggesa kedaulatan Perlembagaan Persekutuan dipertahankan. Pada masa sama, ia juga menggesa pelantikan itu dicabar di sisi undang-undang.

“Majlis Peguam dengan ini diberi mandat untuk mengambil sebarang langkah yang difikirkan sesuai berhubung pelantikan yang tidak berperlembagaan ini, dan untuk memberi makna kepada resolusi yang diluluskan,” kata Varughese.

Raus sepatutnya bersara pada hari ini selepas mencapai umur 66 tahun dan enam bulan iaitu tempoh yang dihadkan bagi jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan. Zulkefli pula dijadual bersara pada 27 September, 2017.

Usul kedua yang sama dicadangkan ahli Majlis Peguam Charles Hector, Francis Pereira dan Shanmugam Ramasamy ditarik balik supaya Badan Peguam bercakap dengan “satu suara”, kata Varughese kepada wartawan selepas undian.

Usul Varughese membawa lapan resolusi yang diluluskan dengan majoriti besar.

Beliau berkata badan itu yang mempunyai 16,500 ahli akan meneruskan cabaran undang-undang berkenaan.

“Salah satu langkah yang akan diambil ialah meneruskan prosiding undang-undang untuk mencabar pelantikan itu, di mana majlis akan memulakannya tidak lama lagi,” katanya.

Ketika ditanya siapa yang akan memutuskan cabaran perlembagaan seperti itu jika bukan Raus, Varughese berkata badan itu akan memohon bantuan hakim bersara.

“Keadaan seperti itu memerlukan pelantikan hakim bersara, di mana kami menggesa Ketua Hakim Malaya Ahmad Maarop untuk menjalankan tugas menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melantik hakim bersara sebagai hakim tambahan khusus bagi mendengar cabaran berkenaan,” katanya.

Varughese berkata badan itu juga akan menolak keputusan hakim Mahkamah Persekutuan lain, memetik konflik kepentingan dan memohon panel tujuh hakim mendengar cabaran itu, bukan lima hakim seperti kebiasaannya.

Jika Raus dan Zulkefli terus mempengerusikan kes itu atau berada dalam panel hakim mendengar kes, dan jika pelantikan mereka diisytiharkan tidak mengikut perlembagaan, semua kes berkenaan boleh dicabar.

Menjawab soalan mengenai kesan resolusi melarang interaksi sosial dengan Raus dan Zulkefli, Varughese berkata ia tidak bermakna mereka tidak terbabit dengan badan kehakiman.

“Kami masih terbabit dalam badan kehakiman berkenaan semua perkara kehakiman,” katanya. – 3 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen