By Jason Santos
PENGORBANAN pengasas negara ini untuk mencapai Perjanjian Malaysia 1963 tidak boleh disia-siakan dan perlu diperingati, kata Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal.
“Pembentukan Malaysia amat penting, bukan sekadar memperingati tarikh dan tahun tersebut tetapi mengingati apa yang dicapai menerusi perjanjian itu.
“Bayangkan masalah yang dihadapi ketika mahu ke Britain dan menjelajah seluruh pelosok Sabah untuk bertanyakan rakyat negeri ini sama ada mereka mahu menjadi sebahagian Malaysia.
“Jangan ambil mudah perkara ini, begitu juga dengan perjanjian yang dicapai. Kita perlu sedar bahawa mereka (pejuang negara) telah berkorban untuk berdepan masalah, kesakitan dan berusaha. Usaha mereka perlu dihormati dan impian mereka perlu direalisasikan,” katanya.
Shafie berkata demikian selepas menziarahi kubur Yang di-Pertua Negara dan juga ketua menteri Sabah ketiga, Mustapha Datu Harun hari ini di Taman Peringatan Tun Mustapha dekat Putatan, kira-kira 15 minit dari Kota Kinabalu.
Beliau berkata majlis peringatan yang sama akan diadakan untuk Tun Fuad Stephens di Masjid Negeri dekat Sembulan.
Shafie berkata ini merupakan masa yang sesuai untuk memberi penghormatan kepada pejuang pengasas Malaysia yang telah banyak berkorban untuk menubuhkan negara ini pada 54 tahun lalu.
Katanya sumbangan pemimpin ketika itu termasuk Mustapha, Fuad dan G.S Sundang yang mewakili suara rakyat Sabah, amat besar buat Malaysia dan perjuangan mereka perlu dihormati.
Mustapha merupakan Yang Di-pertua pertama manakala Fuad merupakan ketua menteri Sabah, ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara, dan mereka berdua membentuk kerajaan pertama Sabah yang mewakili rakyat negeri ini ketika berunding bagi pembentukan Malaysia.
Tiada majlis peringatan diadakan sebelum ini sehingga Shafie mengambil-alih Sabah sebagai ketua menteri dan membentuk parti Warisan bagi memimpin kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau turut memastikan sambutan Hari Malaysia lebih meriah berbanding Hari Sabah atau Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos. – 14 September, 2018.
Komen