NAJIB Razak sekali lagi dikritik pengguna media sosial apabila bekas perdana menteri itu cuba menjelaskan isu derma RM2.6 bilion yang diterima dari Arab Saudi pada 2013.
Dalam status terbaharunya malam tadi, Najib berkata wang tersebut merupakan ‘wang kecemasan’ yang diminta daripada Raja Arab Saudi.
Beliau berkata Putera Abdulaziz Al-Saud, yang mewakili raja negara itu, menulis surat kepadanya pada 1 Mac 2013 bahawa dana itu disalurkan kepada secara berperingkat-peringkat untuk tahun yang sama.
Katanya dana itu akan disalurkan samada dari akaun bank baginda ataupun dari sumber-sumber pihak baginda yang lain termasuk syarikat Tanore Finance Corporation.
Najib turut memamparkan surat dari putera berkenaan termasuk dokumen bank yang menunjukkan beliau memulangkan sejumlah wang pada 2013 selepas Barisan Nasional mengekalkan kuasa sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Beliau menukar lagi cerita,” kata pengguna Facebook Basil Pian dalam ruang komen status Najib itu.
“Mulanya mendakwa tidak menerima wang, kemudian berkata wang itu dana parti dan duit derma itu dikembalikan. Kini lain pula ceritanya. Surat itu tidak menyatakan anda meminta wang. Tidak ubah seperti drama.”
Ismail Mohamad berjenaka bahawa Najib mengambil masa yang lama untuk menyediakan ‘skrip’.
Bagi Mas Asmar Ashraf dan Fazril Saruddin, sudah terlewat buat Najib untuk cuba menjelaskan isu wang berbilion yang diterima menerusi akaun banknya.
Fazril berkata Najib kini terdesak menjelaskan tentang wang derma itu selepas enggan berbuat demikian dan menunjukkan bukti ketika isu itu timbul buat pertama kali.
“Kini sudah tidak berguna lagi. Kerajaan telah bertukar. Jika anda berbuat begini lebih awal, anda mungkin masih di Putrajaya,” kata Asmar.
Seorang lagi pengguna Facebook Aidil Khan mempersoalkan tindakan Najib memecat bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin yang membangkitkan isu tentang dana tersebut. – 14 September, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen