Jabatan Peguam Negara hanya jalankan tugas bongkar kebenaran bayaran RM9.5 juta


Bede Hong

Peguam Negara Tommy Thomas berpendapat beliau mempunyai tanggungjawab mendedahkan kebenaran mengenai bayaran RM9.5 juta yang diterima Shafee Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2018.

JABATAN Peguam Negara hanya melaksanakan tugas apabila salah seorang pegawainya memfailkan afidavit berhubung wang RM9.5 juta yang dibayar kepada peguam Umno Muhammad Shafee Abdullah kira-kira lima tahun lalu.

Peguam kanan persekutuan Zureen Elina Mohd Dom memberitahu Hakim Mahkamah Rayuan Umi Kalthum Abdul Majid hari ini bahawa Jabatan Peguam Negara mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan kebenaran menerusi afidavit yang dikemukakan pada 5 September lalu.

Shafee bertindak sebagai pendakwa raya sementara pada kes rayuan perbicaraan sodomi Anwar Ibrahim pada 2014.

Berdasarkan bukti Jabatan Peguam Negara, presiden PKR itu mendakwa Shafee menerima wang berjumlah RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak atas tugasnya itu.

Dalam mengemukakan rayuan Anwar untuk membatalkan sabitan kes liwatnya berdasarkan afidavit iyu, Zureen berkata afidavit berkenaan dikemukakan atas arahan Peguam Negara Tommy Thomas.

“Pada pandangan Peguam Negara, beliau mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kebenaran tentang bayaran RM9.5 juta itu,” katanya.

Pasukan peguam Anwar yang diketuai Gopal Sri Ram kemudiaannya meminta pendengaran kes ditangguh sehingga 21 September bagi pengurusan kes dan 29 November untuk mendengar permohonan Shafee untuk campur tangan selepas pihak pemohon mengemukakannya semalam.

Shafee diwakili oleh Harvinderjit Singh, Sarah Abishegam dan anaknya Farhan Shafee.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah berdepan empat pertuduhan pengubahan wang haram dan kesalahan cukai.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2018

Anwwar, yang disabitkan kesalahan pada 2014 dan dipenjarakan setahun kemudian berkata pada awal bulan ini peguamnya menerima afidavit yang ditandatangani oleh seorang pegawai Jabatan Peguam Negara yang menyokong dakwaan bahawa Shafee menerima bayaran selepas mendakwa beliau.

Pegawai itu mendakwa Najib mengeluarkan cek pada 11 September 2013 dan 14 Februari 2014, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta, manakala Shafee menerima wang itu menerusi akaunnya pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Anwar mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi pada Februari yang menolak permohonannya sebelum ini bagi membatalkan sabitan ekoran kekurangan bukti.

Permohonan terbaharu Anwar untuk membatalkan sabutan itu adalah pada Jun tahun lalu berdasarkan laporan Sarawak Report.

Laporan itu mendakwa wang yang diterima Shafee merupakan wang curi daripada anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd yang kini dalam siasatan berhubung jenayah penggubahan wang haram.

Semalam Shafee ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan didakwa atas tuduhan melakukan penggubahan wang haram.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Shafee diikat jamin dengan bayaran RM1 juta.

Pada Mei lalu, Anwar menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong atas kes sodominya. – 14 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen