PAS yakin royalti minyak akan diberi semula kepada Terengganu, kata Presiden Abdul Hadi Awang.
“Kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sangat positif dan kita percaya hubungan itu akan bertambah baik.
“Kita sudah dimaklumkan akan menerima kadar yang dipersetujui iaitu sebanyak 5% dan ia sudah diputuskan oleh Kabinet,” Hadi memberitahu pemberita pada muktamar PAS di Gong Badak hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti bilakah bayaran tersebut akan dibuat.
“Tiada tarikh diberi bila bayaran royalti akan disambung tapi saya percaya perdana menteri akan tunaikan janji,” kata Hadi yang jadi menteri besar Terengganu pada 1999 hingga 2004.
Selepas Terengganu jatuh ke tangan PAS pada 1999, kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Dr Mahathir menyalurkan royalti minyak terus kepada kerajaan negeri.
Sebuah agensi persekutuan yang berasingan ditubuhkan di Terengganu untuk mengagihkan wang bagi projek pembangunan negeri.
Walaupun BN berjaya merampas Terengganu pada 2004, dana kekal disalurkan kepada agensi persekutuan.
Pada 2009, pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi memulakan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dan berjanji royalti minyak akan disalurkan ke cabang pelaburan negeri itu. TIA kemudian dijenamakan semula menjadi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) smeasa Najib Razak jadi perdana menteri pada 2009. – 14 September, 2018.
Komen