Hadi kata Pakatan lebih teruk daripada Umno


Chan Kok Leong

Satu demi satu kes terhadap pemimpin Pakatan Harapan digugurkan walaupun baru empat bulan memerintah, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 September, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) lebih teruk daripada Umno kerana menggugurkan satu demi satu kes terhadap pemimpinnya, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Ada menteri besar dan menteri yang didakwa serta dipenjarakan semasa 60 tahun Umno perintah.

“Tetapi di bawah Pakatan Harapan, yang baru saja perintah selama beberapa bulan, kes-kes mahkamah digugurkan.

“Baru empat bulan perintah dah ada masalah macam ini. Apa akan jadi kalau mereka perintah untuk 60 tahun? Mereka ini lebih teruk daripada Umno,” kata Hadi semasa menyampaikan ucap tamanya pada pembukaan Konvensyen Nasional Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Gong Badak, Terengganu hari ini.

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)  ialah sayap bukan Islam PAS dan ini merupakan kali pertama ia mengadakan perhimpunan pada muktamar parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 September, 2018.

Hadi merujuk kepada kes rasuah Menteri Kewangaan Lim Guan Eng di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang digugurkan pada 3 September.

Lim didakwa atas kesalahan rasuah pada 2016 kerana membeli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang di bawah harga pasaran daripada pemilik asal, Phang Li Khoon.

Keputusan untuk menarik balik kes dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria.

Sejak PRU14, PAS dan Umno telah mula bekerjasama apabila saling berkempen satu sama lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis dan Seri Setia.

Meskipun belum secara rasmi memetarai kerjasama, PAS telah berjanji akan menyokong kempen Umno pada PRK Port Dickson nanti.

DHPP ialah sayap bukan Islam PAS dan ini merupakan kali pertama ia mengadakan konvensyen pada muktamar tahunan ke-64 parti.  – 14 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen