MESKIPUN persoalan mengenai kerjasama dengan Umno akan mendominasi muktamar PAS di Kuala Terengganu tahun ini, penganalisis berpendapat ia perlu ditangani secara berhati-hati memandangkan ia masih belum dimeterai.
“Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PAS amat yakin boleh emnang pertembungan tiga penjuru, tetapi keptusan menunjukkan ia hanya mampu mempertahankan kerusi majoriti Melayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu,” kata Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia.
“PAS hilang banyak kerusi di Selangor, Perak dan Perak serta hampir hilang semua di selatan.
“Jadi, ia perlu pertimbangkan pendekatan lain,” kata penganalisis politik PAS itu.
Walaupun PAS mengejutkan banyak pihak apabila menang 18 kerusi parlimen dan 90 kerusi DUN pada PRU14, parti Islam itu kalah teruk di sebelah pantai barat.

Kerusi parlimen yang dimenangi PAS ialah di Kedah (3), Kelantan (9) dan Terengganu (6). Di Selangor pula, PAS hanya menang satu kerusi DUN berbanding 13 yang dimenanginya pada PRU13.
Menurut Mazlan, PAS perlu memujuk pemimpin di peringkat pertengahan dan akar umbi sebelum memulakan rundingan rasmi dengan Umno.
“Sekian lamanya mereka bersumpah menjadi musuh dan apa sahaja rundingan yang hendak dibuat, mestilah bermula di akar umbi,” katanya ketika mengulas mengapa Dewan Ulama PAS mengeluarkan kenyataan “neutral” pada muktamar semalam.
Ketua Dewan Ulama Dr Mahfodz Mohamed semalam berkata parti itu akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang menyatukan Melayu dan Islam.
Namun, pada sidang kahbar yang diadakan kemudian, Mahfodz tidak memberi komen ketika ditanya sama ada beliau merujuk khusus kepada kerjasama dengan Umno.
Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan menggunakan muktamar tahun ini sebagai platform untuk mewajarkan kerjasama dengan musuh tradisi mereka itu.
“Hadi akan menggunakan naratif bahawa Islam kini terancam di bawah kerajaan Pakatan Harapan bagi meraih sokongan untuk bekerjasama dengan Umno.
“Beliau akan bercakap mengenai perjuangan dan sumbangan parti kepada negeri dan negara sebelum cuba meyakinkan akar umbi mengapa perlu bekerjasama dengan Umno,” kata Awang Azman, pensyarah pengajian etnik Melayu di UM. – 14 September, 2018.
Komen