Tak perlu cium tangan untuk buktikan kesetiaan, kata Azmin


Looi Sue-Chern

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata seorang reformis sejati perlulah bersikap rendah diri dan tidak sombong semasa berucap di Seberang Jaya, Pulau Pinang malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 14 September, 2018.

TIMBALAN Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata beliau tidak perlu mencium tangan bos untuk menunjukkan kesetiaannya, dan tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk mendapatkan sokongan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ratusan ahli PKR dari negeri utara pada perhimpunan di Seberang Jaya, Pulau Pinang malam tadi.

Azmin berkempen untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden parti serta reputasi beliau, yang dicabar beberapa minggu kebelakangan ini oleh pesaingnya, Rafizi Ramli dan para penyokong.

Kempen Rafizi memfokuskan untuk memastikan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri seterusnya, menyatakan kesetiaan Azmin sudah beralih arah.

“Terdapat desas-desus menyuruh saya membuktikan kesetiaan saya kepada Anwar. Tetapi saya tidak perlu mencium tangan untuk menunjukkan kesetiaan saya,” kata Azmin, yang menjadi pembantu kepada Anwar ketika beliau menjadi menteri dalam Kabinet Barisan Nasional.

“Terdapat beberapa pencium tangan yang baru muncul. Mereka mendabik dada dan menggelar diri sebagai reformis.

“Mereka mahu berjuang tetapi tidak mempunyai kekuatan sendiri dan terpaksa bergantung kepada orang lain untuk mendapat sokongan anggota parti,” katanya.

Golongan inilah yang harus membuktikan kesetiaan mereka, tetapi sebaliknya mencari kesalahan orang lain, kata Azmin, yang juga merupakan menteri hal ehwal ekonomi.

Beliau berkata beberapa orang sudah melarikan diri ke Australia, Indonesia dan United Kingdom apabila keadaan menjadi sukar semasa zaman awal Reformasi di akhir 1990-an.

Penyokong Anwar dan pergerakan pembaharuannya, termasuk Azmin, dipukul, disembur gas pemedih mata dan ditembak meriam air, serta masuk lokap kerana melakukan demonstrasi jalanan.

“Dua tahun selepas itu, apabila keadaan sudah aman, mereka kembali dan mengisytiharkan diri sebagai reformis. Anda tidak boleh buat begitu,” kata Azmin.

Beliau berkata seorang reformis sejati juga tidak merampas agenda reformasi, bangga diri atau sombong.

“Mengatakan ‘saya hebat, bijak, pintar’ bukanlah pembaharuan. Pemimpin bukan sahaja perlu ada fikiran yang baik, tetapi juga kerendahan hati dan menghormati orang lain serta pandangan mereka,” katanya.

Azmin tidak menyebut sebarang nama dalam ucapan hampir sejam itu tetapi jelas kebanyakan kata-katanya ditujukan kepada Rafizi dan sekutunya, yang menyerang beliau dalam kempen.

Azmin berkata pembaharuan itu adalah maraton yang tidak mempunyai jalan pintas, dan banyak pemimpin reformis terdahalu bekerja keras, tanpa berputus asa selepas banyak kali kalah, untuk meletakkan PKR di tempatnya hari ini.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dikelilingi penyokong parti semasa perjumpaan di Seberang Jaya, Pulau Pinang, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 14 September, 2018.

“Kami mengalu-alukan mereka yang baru saja menyertai PKR tetapi jangan lupa sumbangan pemimpin dan ahli lama. Disebabkan reformis kita berada di tempat kita hari ini.”

Bekas menteri besar Selangor itu juga berkata perjuangan reformasi PKR semasa bergelar pembangkang dan sekarang apabila berada dalam kerajaan adalah berbeza.

“Reformasi 2.0 hari ini tidak lagi memerlukan kita untuk ke jalanan,” katanya, sambil menegaskan PKR kini mempunyai eksekutif negeri dan menteri Kabinet yang boleh melaksanakan dasar serta memperkenalkan pembaharuan.

“Hanya tiga bulan lalu, buat pertama kali dalam sejarah, rakyat menolak politik perkauman dan sempit serta memberi sokongan kepada PH dan PKR.

“Rakyat memberi kita mandat untuk melaksanakan tugas ini. Jika kita bergaduh sesama sendiri sekarang, kita mengkhianati kepercayaan rakyat.”

Azmin juga berkata PKR perlu bersatu dan menjauhkan diri daripada pembohongan dan fitnah dalam pemilihan parti.

“Sebelum ini, bekas pembangkang PH Selangor dan Pulau Pinang menjadi contoh kejayaan untuk meyakinkan rakyat Malaysia agar memberi peluang kepada PH, tetapi sekarang saya dituduh tidak setia atau tidak cukup setia.

“Saya faham kita sedang berkempen tetapi janganlah berbohong. Saya di sini untuk bekerja (untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia yang  PH dan PKR boleh memerintah negara dengan baik).”

Kemudian, dalam satu sidang akhbar selepas berucap, Azmin menafikan khabar angin yang beliau akan keluar daripada PKR jika kalah dalam pemilihan parti.

“Bagaimana saya nak beri respons kepada khabar angin? Kita tidak boleh dipengaruhi cerita seperti ini,” katanya, sambil menambah bahawa ahli PKR bijak dan cukup matang untuk mengetahui siapa pemimpin yang sudah teruji.

“Kami bermula sebagai pergerakan rakyat yang berdepan pelbagai kesukaran. Anggota parti melihat saya sebagai salah satu daripada banyak pemimpin yang bersama mereka dalam perjuangan untuk perubahan.

“Bagaimana saya boleh tinggalkan perjuangan sekarang selepas kita memenangi pilihan raya (dan menukar kerajaan persekutuan)? Ia adalah tuduhan tidak berasas.” – 14 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen