PERTUBUHAN veteran tentera memberi amaran kepada Anwar Ibrahim agar tidak mewujudkan dinasti keluarga di Parlimen, dengan mengatakan pemimpin PKR itu harus meminta isteri atau anak perempuannya mengosongkan kerusi Parlimen mereka berbanding menggantikan bekas pegawai tentera laut di Port Dickson.
Presiden Persatuan Patriot Nasional (Patriot) Mohamad Arshad Raji berkata Anwar sepatutnya memilih kerusi Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Nurul Izzah, memberi amaran yang keluarga itu kini berkemungkinan dituduh nepotisme jika Anwar berjaya ke Parlimen .
“Anwar sedang mewujudkan sebuah dinasti keluarga di dalam parti apabila beliau sepatutnya memilih kawasan lain untuk bertanding dan bukannya kerusi Port Dickson.
“Orang ramai tidak menyukai idea satu keluarga dalam satu parti,” kata Arshad kepada The Malaysian Insight.
Wan Azizah ialah ahli Parlimen Pandan dan timbalan perdana menteri manakala Nurul adalah ahli Parlimen Permatang Pauh serta naib presiden PKR.
Bekas ahli Parlimen Port Dickson, Danyal mengumumkan beliau melepaskan kerusinya agar Anwar boleh bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan membuka jalan baginya untuk kembali ke Parlimen.
Arshad berkata mereka kecewa dengan tindakan seorang veteran tentera mengosongkan kerusinya demi Anwar.
“Mengapa perlu Port Dickson, yang merupakan kawasan tentera? Tentera yang menyokong Danyal kerana mereka mahukan seseorang di kalangan mereka untuk berada di Parlimen,” katanya.
Patriot berpendapat Danyal sepatutnya mengekalkan kerusi itu bagi mengutarakan isu berkaitan tentera yang sering kali terlepas pandang.
Arshad memberi amaran PKR kini akan berdepan kesukaran untuk menjawab kepada para pengundi.

“Apa yang dilakukan PKR ialah memberi ‘senjata’ kepada pembangkang untuk menentang mereka. Apa pun alasan yang diberikan oleh PKR tidak masuk akal,” katanya.
Arshad berkata beliau mahu kekal di atas politik tetapi tidak akan menghentikan mana-mana veteran daripada terlibat dalam politik atau berkempen bagi mana-mana parti.
“Patriot sebagai sebuah organisasi tidak akan terlibat dalam politik, tetapi ahli kita bebas untuk melakukannya dalam kapasiti peribadi mereka.
“Kami memberikan kebebasan kepada ahli (untuk menyokong mana-mana pihak) tetapi mereka tidak boleh mengatakan mereka melakukannya untuk Patriot,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata beliau sudah bercakap dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai keputusannya dan mengesahkan kerusi Port Dickson akan menyebabkan beliau semakin hampir untuk mengambil alih sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, keputusannya itu tidak diterima baik beberapa pemimpin kanan PKR yang mendakwa mereka tidak mengetahui perkara itu.
Naib Presiden PKR, Tian Chua mempersoalkan mengapa keputusan itu tidak disampaikan semasa mesyuarat biro politik PKR ketika ditemui pada Selasa.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin juga menyatakan kekecewaannya kerana ahli tidak diberitahu mengenai perkembangan baru itu.
Tanpa menamakan sesiapa, beliau menganggap usaha tersebut seolah-olah dilakukan “kongsi gelap” kerana keputusan tersebut dirahsiakan.
Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi berdaftar, yang merupakan kaum Melayu (43%), Cina (33%) dan India (22%). – 14 September, 2018.
Komen