Sri Ram mahu balas dendam, dakwa Shafee


Bede Hong

Shafee Abdullah memohon supaya Gopal Sri Ram dikecualikan daripada pasukan pendakwaan kesnya kerana hubungan mereka yang buruk berdekad lamanya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 13 September, 2018.

SHAFEE Abdullah secara rasmi akan memfailkan permohonan untuk mengecualikan pendakwa raya kanan Gopal Sri Ram daripada kesnya, mendakwa tidak akan mendapat perbicaraan adil kerana pertelingkahan di antara mereka.

Shafee memberitahu wartawan di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur, hubungannya dengan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu bermasalah sejak berdekad lalu.

“Pergaduhan saya dengan Datuk Sri Ram sudah lama, sejak saya masih pendakwa raya muda pada 1979,” kata Shafee.

“Bila tiba-tiba anda dapat kuasa sebegitu (ketua pendakwa raya), anda tengok sekeliling cari orang yang anda boleh tembak. Dan saya kebetulan salah seorang. Ini yang berlaku. Ini teknik buli.”

Sri Ram dilantik sebagai pendakwa raya awam kanan pada 31 Ogos untuk membantu kes pendakwaan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad dikendalikan Jabatan Peguam Negara.

Sri Ram adalah bekas ketua hakim mahkamah persekutuan yang juga peguam Anwar Ibrahim dalam kes liwat keduanya, mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Shafee yang dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla).

Shafee berkata perdebatan pihak pendakwaan dan pembelaan hari ini kebanyakannya mengenai jumlah ikat jamin.

Sri Ram mendakwa Shafee cuba melarikan diri daripada ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menukar kereta di Pavilion Residences di Kuala Lumpur ketika peguam itu bertemu anak guamnya, Najib Razak.

“Kami terima maklumat daripada SPRM yang dia (Shafee) melarikan diri di Pavilion dengan menukar kereta dan kami tak dapat tangkapnya sehinggalah pagi ini walaupun usaha menangkapnya bermula sejak 4.30 pagi semalam.”

Gopal Sri Ram, nama besar dunia perundangan Malaysia mengetuai pasukan pendakwaan kes Shafee Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2018.

Selepas jumlah ikat jamin itu ditetapkan, Shafee yang diwakili enam orang peguam membuat kenyataan sendiri untuk menafikan dakwaan itu.

“(Sri Ram) mendakwa saya cuba elak ditangkap. Ini tuduhan paling mengarut kerana mana ada orang boleh berjalan tanpa tempah tiket,” katanya, merujuk kepada penerbangan pagi semalam ke Johor Bahru yang beliau jadualkan semula pada 6.10 petang, tindakan yang dakwanya “disedari” pegawai SPRM.

“Jika mereka pegawai SPRM, mereka akan nampak saya dengan jelas dalam pakaian yang biasa saya pakai seperti sekarang. Dan mengarut betul tentang saya tukar kereta, tak ada bukti,” katanya.

Tambahnya, beliau memandu kereta Audi TT8, iaitu “kereta yang anda tak akan terlepas pandang.”

“Saya tak tukar kereta. Saya naik penerbangan (kembali ke KL) dari Johor dan guna laluan sama ke rumah saya, makan malam dan pergi ke Pavilion untuk jumpa anak guam saya. Kereta saya diparkir di Pavilion. Sekali lagi, semua orang boleh nampak.”

Tambahnya, beliau berjumpa Havinder Singh, yang kini ketua peguamnya di sebuah “hotel lima bintang” di Damansara Heights malam itu.

“Sekali lagi, terbuka. Jika kata saya buat silap mata (larikan diri) tak adil.”

Shafee juga mendakwa selepas salah sebuah telefon bimbitnya “rosak”, beliau meminjam telefon bimbit anak perempuannya dan memberikan nombor terbaru itu kepada pegawai SPRM yang ditemuinya sebelum itu.

“Saya di sini. Saya sukarela duduk dalam kandang saksi untuk anda soal balas, bukannya (mendengar) benda mengarut (daripada pendakwa raya).”

Shafee Abdullah adalah peguam utama Najib Razak dalam kes SRC International, bekas anak syarikat 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2018.

Sri Ram dalam reaksi kepada dakwaan Shafee berkata maklumat diberikan SPRM tidak mengarut.

Shafee dalam kenyataannya di mahkamah berkata niat pemfailan permohonan untuk mengecualikan Sri Ram dibuat kerana tidak mahu dianggap sebagai satu perkara yang diputuskan kemudian.

Menyentuh dakwaan Sri Ram yang “tidak ada ahli politik dalam mahkamah ini” dan kes terhadap Shafee tidak berunsur politik, peguam itu berkata Sri Ram mewakili Anwar Ibrahim dalam penerimaan affidavit dakwaan bayaran RM9.5 juta.

“Dalam kapasiti itu dia tak bebas. Dia ada kepentingan dan agenda untuk dapatkan pembebasan (untuk Anwar),” katanya.

“Yang saya nak timbulkan adalah, bagaimana seorang boleh jadi timbalan pendakwa raya melibatkan kes RM9.5 juta yang sama. Bukankah dia ada kepentingan untuk menyabitkan kesalahan bagi membantu kesnya (Anwar)?”

Shafee menjelaskan hubungannya dengan Sri Ram,” saya ada sejarah dengan sahabat yang arif ini, dalam erti kata lain hubungan kami tak berapa elok. Di mahkamah pun, tak rapat.”

Shafee hari ini mengaku tak bersalah dan minta dibicarakan di bawah Seksyen 4 (1)(a) Alma 2001 kerana pertuduhan menerima dua bayaran berjumlah RM9.5 juta daripada Najib antara 2013 dan 2014.

Selain pertuduhan pengubahan wang haram, Shafee juga didakwa atas pertuduhan mengelak cukai.

Pengurusan kes ditetapkan pada 2 Oktober.  – 13 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen