BEKAS ketua audit negara Ambrin Buang menyarankan para juruaudit supaya membaca laporan audit 1Malaysia Development Berhad untuk mengambil iktibar dan belajar menjadi lebih cekap.
Katanya, juruaudit sepatutnya menelitinya memandangkan laporan yang sebelum ini dikelaskan sebagai rahsia rasmi kini dapat diakses secara bebas.
“Inilah masalahnya, juruaudit sepatutnya bangga dengan hasil kerja juruaudit yang seangkatan dengan mereka.
“Ambil minat (untuk membaca laporan). Dari situ anda akan dapat iktibar atau sekiranya sesuatu projek itu mempunyai masalah, anda tahu apa sebabnya.
“Jadi bila anda menjalankan tugas mengaudit, dan belajar dari pengalaman orang lain, ia akan membuatkan anda lebih efisyen,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Pengerusi jawatankuasa siasatan khas ke atas isu perolehan kerajaan itu berkata demikian kerana mendapati tidak ramai juruaudit berminat untuk membaca laporan skandal kewangan terbesar di dunia itu.
“Jadi macam mana anda boleh katakan yang anda seorang juruaudit yang profesional apabila anda sendiri tak baca laporan audit tersebut?
“Kerana 1MDB ini adalah satu kes yang paling teruk. Ia merupakan salah satu skandal (kewangan)terbesar di dunia. Dan anda tak berminat untuk tahu bagaimana kita mengauditnya,” katanya.
Kes penggelapan dana 1MDB disifatkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sebagai kleptokrasi terbesar di dunia.
Polis Malaysia kini sedang mendapatkan kerjasama negara luar termasuk Switzerland, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Singapura untuk mendapatkan bukti berkaitan kes tersebut.
Pasukan penyiasat juga hari ini mendedahkan wang yang dijejak dari 1MDB sebanyak RM2.97 bilion dikesan masuk ke akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak. – 13 September, 2018
Komen