Mindef dahulu, kementerian lain selepas ini, kata Ambrin Buang


Yasmin Ramlan

Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara hanya memberi tumpuan kepada Kementerian Pertahanan dahulu buat masa sekarang, kata Pengerusi Amrin Buang.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 September, 2018.

JAWATANKUSA Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara pada masa kini hanya akan memberi tumpuan kepada siasatan projek-projek kelolaan Kementerian Pertahanan, kata Pengerusinya Ambrin Buang.

Menurut Ambrin, jawatankuasa itu juga berharap akan dapat menyiasat kementerian lain selepas siasatan di Kementerian Pertahanan selesai.

“Kita masih belum putuskan (kementerian mana selepas ini). Kita hanya tumpukan kepada kementerian pertahanan dulu.

“Terdapat banyak isu yang perlu dilihat. Kemudian kami harap dapat menyiasat di tempat (kementerian yang) lain,” katanya kepada pemberita selepas persidangan “Public sector internal audit conference 2018” di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau ditanya tentang kementerian lain yang akan jadi tumpuan jawatankuasa selepas Kementerian Pertahanan.

Bekas ketua audit negara itu berkata, siasatan masih berjalan dan ia akan mengambil masa.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menetapkan sebarang had tempoh bagi siasatan terhadap kementerian itu.

Tugas utama jawatankuasa tersebut adalah untuk menyiasat dan mencadangkan penambahbaikan kepada prosedur perolehan kerajaan dengan ojektifnya mengurangkan ketirisan.

Beliau juga sebelum ini dilaporkan berkata, jawatankuasa ini diberikan mandat oleh kerajaan untuk menyiasat kes-kes dan pembelian aset yang mencurigakan oleh kementerian dari segi penyelewengan, salah guna kuasa atau pembaziran kewangan negara. – 13 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen