KOS bagi banyak projek kerajaan yang diberikan secara rundingan terus melambung tinggi disebabkan ketirisan, kata bekas ketua audit negara Ambrin Buang.
Banyak projek yang diberikan secara rundingan terus mengalami masalah itu, katanya yang memerhatikan perkara itu sepanjang tempoh 11 tahun sebagai ketua audit negara.
“Mereka sepatutnya boleh menyiapkan projek tersebut dalam masa yang ditetapkan dengan kos yang minimum dan mesti menghasilkan kualiti yang bagus.
“Tetapi bila audit masuk semua tak ada,” katanya kepada pemberita selepas berucap di satu persidangan audit perkhidmatan awam di Kuala Lumpur hari ini.
Ambrin kini merupakan pengerusi jawatankuasa yang baharu ditubuhkan berhubung tadbir urus, perolehan dan kewangan kerajaan.
Katanya, masalah ketirisan itu sering terjadi apabila pengusaha projek tersebut tidak mempunyai pengalaman atau bertindak menjualnya kepada subkontraktor.
“Sepatutnya rundingan terus patut siap (seperti yang ditetapkan), dengan harga yang bagus. Tapi ia tidak siap (dalam masa yang ditetapkan). Pada hakikatnya, ia tertangguh beberapa bulan dan tambah (kos) kalau melibatkan penambahan kos,” katanya.
Beliau juga berkata, pihaknya akan mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung janji Pakatan Harapan untuk mengamalkan rundingan projek yang telus.
Tambahnya, terlalu awal untuk pihaknya mengadili kerajaan PH yang baru mentadbir negara kira-kira tempoh empat bulan itu.
Bagaimanapun, Ambrin mengharapkan kerajaan PH mempelajari daripada kesilapan kerajaan terdahulu sebelum ini.
“(PH) boleh mentadbir dengan lebih baik. Kalau ulangi (kesalahan) yang sama ketua auditor akan tegur lagi. Kita perlu tunggu dan lihat, jangan mengadili cepat sangat.
“Tapi kita akan tuntut apa yang dinyatakan mereka. Apa yang mereka katakan? Mereka tekankan mengenai rundingan terus, bergantung kepada tender terbuka. Jadi kita lihatlah,” katanya. – 13 September, 2018
Komen