PEGUAM Shafee Abdullah yang dikenakan empat pertuduhan pengubahan wang haram dan mengelak cukai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini berkata beliau mempunyai dua pasport kerana satunya adalah pasport diplomatik duta khas.
“Ia masih sah. Tetapi saya terima surat Wisma Putra hampir sebulan lepas kata saya tak sepatutnya guna pasport diplomatik lagi kerana saya bukan lagi duta khas.”
“Sebelum ini saya duta khas, saya juga pegang jawatan duta sebagai wakil dalam Suruhanjaya Hak Asasi Antara Kerajaan Asean. Sekarang (wakil) Edmund Bond. Dia ganti saya,” katanya kepada wartawan di perkarangan Mahkamah Jalan Duta hari ini.
Shafee dilantik tahun lepas sebagai duta khas untuk Hak Asasi Manusia selama dua penggal bermula 2016 hingga 2018.
Pentadbiran ketika itu berkata ia adalah sebahagian daripada “komitmen tegas” Putrajaya untuk meningkatkan usaha menjunjung hak asasi dengan semua pihak berkepentingan termasuklah pergerakan masyarakat sivil, ahli akademik, agensi kerajaan dan badan antarabangsa.
Pada 2010, Shafee dilantik kerajaan terdahulu sebagai wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan Asean (AICHR) selama dua penggal sejak 2010 hingga 2016 sebelum digantikan Edmund Bon.
Pelantikan itu mendapat kritikan banyak pihak termasuklah Suaram kerana dakwa mereka Shafee mewakili kepentingan kerajaan dan bukannya perjuangan hak asasi.
Shafee dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan mengelak cukai berkaitan bayaran RM9.5 juta diterimanya daripada Najib Razak pada 2013 dan 2014.
Shafee mengaku tak bersalah atas semua pertuduhan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta. – 13 September, 2018.
Komen