SHAFEE Abdullah berkata pertuduhan pengubahan wang haram kepadanya tidak akan dapat dipertahankan kerana kes pihak pendakwaan rapuh.
Ia juga pertuduhan berunsur “politik” dalam usaha memenuhi janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 Pakatan Harapan, katanya lagi.
Peguam terkenal yang banyak kali mewakili Umno dan Barisan Nasional itu hari ini dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pengubahan wang haram dan mengelak cukai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla).
Beliau dituduh menerima RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak, dipercayai diperolehi secara haram daripada dana pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Agak jelas yang sekiranya mereka tak dapat buktikan saya tahu wang yang saya terima daripada Najib (Razak) adalah wang haram, keempat-empat pertuduhan itu akan terbatal,” katanya.
“Untuk kes seperti ini, saya fikir hakim mahkamah tinggi lebih sesuai. Jika mereka beri saya hakim mahkamah tinggi yang bebas, atau mana-mana hakim, saya boleh beritahu anda yang kami akan menang kes ini.”
Pertuduhan itu berkait dengan kenyataan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang beliau menerima affidavit seorang pegawai Jabatan Peguam Negara mendakwa Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib pada 2013 dan 2014.
Shafee berkata beliau tidak mengetahui sama ada wang tersebut ada kaitan dengan 1MDB yang kini sedang disiasat.
“Jelas sebenarnya, jika saya tanya sesiapa sahaja pada 2013 atau 2014, ‘pernah dengar 1MDB atau SRC (bekas anak syarikat 1MDB)?’, anda semua akan kata tak pernah dengar.
“Jadi bagaimana saya tahu pada 2013 atau 2014 yang ada isu seperti 1MDB atau SRC. Ini berdasarkan andaian ada perkara salah dengan 1MDB atau SRC yang kini dipertikaikan oleh Najib.
“1MDB, mereka (pihak berkuasa) masih bergelut (untuk siasat). Saya pasti mereka akan buat pendakwaan berkaitan 1MDB kepada Najib, walaupun mereka tak boleh siapkan siasatan mereka.
“Walaupun mereka tahu mereka boleh kalah kes itu, mereka akan penuhi janji mereka (untuk dakwa). Jika tidak rakyat Malaysia tak akan lagi percaya.”
Beliau merujuk kepada janji dibuat Pakatan Harapan dalam manifesto PRU14 mereka yang pihak bertanggungjawab dalam 1MDB akan dihadapkan ke muka pengadilan dalam tempoh 100 hari PH berkuasa.
Shafee juga mendakwa hujah Anwar yang integriti pendakwaan terjejas ketika beliau menjadi pendakwa raya khas dalam perbicaraan liwat keduanya pada 2014 pincang.
“Dia (Anwar) cuba berhujah yang kerana saya terima RM9.5 juta, yang dikatakan habuan mendakwanya, dia tak terima perbicaraan adil.
“Saya tak mendakwa kes itu, saya tak selia kes itu. Saya hanya menjalankan rayuan. Rayuan bermakna rekod anda sudah ada. Saya hanya ambil rekod dan berhujah. Saya tak jadikan bukti sedia ada lebih baik. Saya hanya berhujah berdasarkan rekod.” – 13 September, 2018.
Komen