PAKATAN Harapan boleh mengubah peruntukan hukuman dalam perundangan syariah supaya negara dilihat lebih belas dan kasihan pada warganya, kata Ketua Wanita Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud.
Katanya, hukuman mengikut undang-undang syariah itu boleh diubah kerana ia merupakan hukuman takzir yang ditentukan oleh pemerintah yang tidak ada dalam al-Quran dan hadis.
Tambahnya, hukuman itu tidak semestinya menyakitkan atau memalukan pesalah seperti hukuman yang dilaksanakan ke atas satu pasangan lesbian di Terengganu.
“Para ulamak perlu lihat apa yang boleh diterima pakai pada masa ini. Apa yang PH mahu lakukan adalah kita inginkan satu Malaysia Baharu yang mempunyai belas kasihan.
“Tak semua (hukuman) perlu dihukum dan dimalukan di depan orang ramai. Kita boleh mengubahnya,” katanya dalam satu forum di Kuala Lumpur pada malam tadi.
Forum bertajuk Sebatan Di Khalayak Ramai: Sejauh Mana Islamiknya? Itu membincangkan mengenai hukuman kontroversi yang dijalankan Mahkamah Syariah Terengganu ke atas satu pasangan lesbian minggu lalu.
Jelasnya, hukuman itu boleh ditukar mengikut keperluan semasa, seperti hukuman gantung yang kini hanya diamalkan oleh hanya beberapa negara sahaja.

Maka hukuman sebat itu boleh ditukar kepada khidmat komuniti dan nasihat oleh hakim dan keluarga, katanya lagi.
Pasangan wanita berusia 22 tahun dan 32 tahun itu diasabitkan kesalahan bagi tuduhan musahaqah oleh Mahkamah Syariah Terengganu.
Hukuman takzir yang dijalankan di hadapan lebih 100 orang khalayak umum itu mengejutkan badan peguam serta aktivis hak asasi manusia.
Sementara itu, peguam hak asasi manusia Fadiah Nadwa Fikri berpendapat, kedua-dua wanita itu sudahpun menghukum wanita tersebut melalui kecaman di media sosial.
“Tengok saja mentaliti kita di media sosial lepas ditahan, kita bunuh (karakter) mereka. Kita pernah bercakap dengan golongan LGBTQ ini? Apa mereka lalui?” soalnya dalam forum sama.
Katanya, golongan tersebut juga mahu masyarakat melayan mereka seperti manusia dan berhenti melakukan keganasan terhadap mereka.
Fadiah berkata, kedua-dua tertuduh itu juga mungkin tidak diberikan bantuan guaman sewajarnya memandangkan mereka mengaku bersalah walau pada mulanya tidak mengaku salah.
Turut berkongsi pandangan dalam forum itu adalah pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussein dan peguam serta pendakwah bebas Jailani Abdul Ghani. – 13 September, 2018
Komen