Sesi town hall berhubung projek PIL1 20 September ini


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau juga akan hadir pada sesi town hall berkenaan walaupun tidak diminta berbuat demikian.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2018

KETIKA kumpulan masyarakat sivil meningkatkan kempen untuk mendesak projek Pan Island Link 1 (PIL1) dibatalkan, kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini mengumumkan satu sesi town hall akan diadakan berhubung projek berkenaan.

Sesi berkenaan adalah berkaitan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA), yang mana Jabatan Alam Sekitar (JAS) meminta kerajaan negeri untuk menganjurkannya, akan diadakan pada 20 September di Pusat Konvensyen Setia SPICE pada jam 8 malam. 

Sesi berkenaan dijangka akan diadakan secara terbuka, yang mana ahli masyarakay sivil dan pihak yang mengkritik projek berkenaan boleh membangkitkan kebimbangan mereka terus kepada pegawai JAS, dan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin yang turut dijangka akan hadir. 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau juga akan hadir pada sesi town hall berkenaan, walaupun tidak diminta berbuat demikian.

“Masyarakat awam dan pihak berkepentingan boleh memberikan pandangan mereka terus kepada JAS. 

“Ini akan menjadi satu proses telus dengan masyarakat awam dan sivil (yang membantah projek berkenaan).

“Apa sahaja pandangan mereka berhubung projek berkenaan, mereka boLeh bangkitkan pada sesi berkenaan. JAS akan mendengar semua pandangan mereka,” katanya pada sidang media yang diadakan di pejabatnya di Komtar hari ini. 

Chow berkata, beliau berharap sesi berkenaan akan berjalan secara “aman” yang mana masyarakat akan menyuarakan bantahan mereka “dalam cara yang memberi impak untuk kefahaman semua” dan “dalam semangat Pulau Pinang”.

“Sesi pada 20 September itu hanyalah mengenai PIL1. Jadi kami harap masyarakat tidak membangkitkan tentang projek lain.

“Kita akan adakan satu lagi sesi mengenai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) pada 30 September. Butiran lanjut mengenai sesi berkenaan akan diumumkan kemudian,” katanya. 

Taklimat mengenai lebuhraya dan laporan EIA pada sesi town hall itu juga akan diserahkan oleh perunding Wiranda Sdn Bhd.

PIL1 merupakan sebagahian besar daripada PTMP, yang merupakan pelan integrasi untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin buruk di Pulau Pinang. Pelan induk itu turut mencadangkan pembinaan sistem transit aliran ringan (LRT), yang turut dibantah kumpulan masyarakat sivil. 

Chow juga berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Selasa depan di Putrajaya untuk menerima taklimat berhubung dapatan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenai projek LRT Komtar-Bayan Lepas yang dicadangkan oleh kerajaan Pulau Pinang sejak Mac 2016. 

Katanya, tiada sebarang komunikasi dengan SPAD selepas dua mesyuarat yang diadakan dengan kerajaan negeri pada 2016 sehingga Loke pada minggu lalu berkata LRT mungkin bukan pilihan terbaik untuk Pulau Pinang. 

“Kami berminat untuk mengetahui apa yang SPAD lalukan dengan penyerahan 2016. Pegawai kami juga akan menjelaskan kepada mereka mengapa kami memilih LRT sebagai pilihan,” katanya .

Penang Forum, sebuah gabungan kecil kumpulan masyarakat sivil di negeri itu, mengadakan forum kecil mereka di seluruh Pulau Pinang bersama penduduk dan memfokuskan kepada meningkatkan kesedaran mengenai impak PTMP, terutamanya PIL1 dan komponen LRT.

Jajaran lebuhraya PIL1 sepanjang 19.6 kilometer dari Persiaran Gurney di utara negeri itu ke Sungai Ara di selatan. 70% daripada lebuhraya berkenaan melalui terowong di Penang Hill , Paya Terubong dan Sungai Ara. 

Penang Forum berkata, jajaran PIL1 akan menjejaskan 10 sekolah dengan 10,000 pelajar, lebih 100 orang kurang upaya dari St Nicholas Home, 20 rumah ibadat, 234 kediaman dan lain-lain. 

Kritikan terhadap projek berkenaan timbul mengenai risiko melibatkan alam sekitar dengan penebukan bukit untuk membina terowong, terutamanya di Penang Hill yang menjadi lokasi Empangan Air Itam dan Kuil Kek Lok Si. 

Penang Forum kini sedang mengumpul maklum balas daripada masyarakat yang menentang projek lebuhraya PIL1 dan mendesak pemansuhannya. Setakat ini, ia telah mengumpul lebih 3,000 surat daripada rakyat Pulau Pinang mengenai projek berkenaan. 

Kesemua maklum balas EIA PIL1 perlu dihantar kepada JAS pada 24 September. – 13 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen