Mahkamah lepaskan Shafee dengan jaminan RM1 juta


Bede Hong

Peguam Muhammad Shafee Abdullah dibenarkan ikat jamin RM1 juta dengan dua pasport diserahkan kepada mahkamah selepas beliau mengaku tidak bersalah dalam kes pengubahan wang haram RM9.5 juta. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 13 September, 2018.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan peguam Muhammad Shafee Abdullah dilepaskan dengan jaminan RM1 juta selepas beliau mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta.

Hakim Azura Alwi juga mengarahkan Shafee menyerahkan dua pasportnya, termasuk satu pasport diplomatik.

Azura juga membenarkan permohonan peguam untuk membayar jaminan sebanyak RM500,000 pada hari ini dan selebihnya pada 18 September.

Bagi tuduhan pertama, Shafee didakwa menerima RM4.3 juta yang dimasukkan ke akaunnya di Bank CIMB daripada akaun AmIslamic Bank milik Najib.

Shafee didakwa melakukan kesalahan itu pada 13 September lalu apabila sekeping cek daripada akaun Najib dimasukkan ke satu akaunnya di CIMB Bank Berhad di Bukit Tunku.

Bagi tuduhan kedua, Shafee didakwa menerima RM5.2 juta yang dimasukkan ke satu lagi akaunnya di Bank CIMB daripada akaun AmIslamic Bank milik Najib.

Shafee didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 September lalu apabila sekeping lagi cek daripada akaun Najib dimasukkan ke satu akaunnya di CIMB Bank Berhad di Bukit Tunku.

Untuk kedua-dua tuduhan, peguam itu didakwa mengikut 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda tidak melebihi lima juta ringgit atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, bagi setiap tuduhan.

Selain itu, beliau turut didakwa dengan dua tuduhan mengelak cukai.

Beliau diwakili enam peguam – Harvinderjit Singh, Chetan Jethwani, Hasnal Rezua Merican, Sarah Abishegan, Rahmat Rezlan dan anak Shafee sendiri, Mohamad Farhan.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram bertindak mengetuai pasukan pendakwaan.

Shafee ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan dibawa ke mahkamah hari ini dengan diiringi sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau dihadapkan mahkamah hari ini susulan pendedahan Presiden PKR Anwar Ibrahim minggu lalu yang mendakwa beliau menerima RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Wang itu didakwa bayaran untuk khidmatnya sebagai pendakwa raya khas dalam perbicaraan liwat kedua yang dihadapi Anwar.

Shafee yang sering mewakili Umno dan BN sebelum ini merupakan ketua pasukan peguam pembela Najib dalam beberapa kes pengubahan wang haram yang dihadapi bekas perdana menteri itu. – 13 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen