AHLI Parlimen Segambut Lim Lip Eng diperintah keluar daripada sidang Dewan Rakyat hari ini selepas bertegas mempersoalkan tindakan Speaker Pandikar Amin Mulia yang menolak usulnya berhubung pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau sebelum itu bangkit bertanyakan alasan speaker menolak usulnya ketika pembentangan Rang Undang-Undang Setem ( Pindaan) 2016 bermula.
Selepas tidak mengendahkan tiga kali kali arahan daripada Timbalan Speaker Ismail Mohamed Said supaya duduk, ahli Parlimen itu diarah keluar daripada Dewan Rakyat.
“Yang berhormat (YB) sila duduk, sekarang ini YB menganggu urusan kerajaan,” kata Ismail yang tidak diendahkan oleh Lim sebelum diarahkan keluar.
Tindakan itu kemudian membangkitkan perasaan tidak puas hati kepada Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang.
Beliau bangkit membantah dan menyentuh mengenai usul Ahli Parlimen Puchong Gobind Sing Deo mengenai rayuan membahaskan usul 1MDB yang diletakkan pada nombor 39 dalam senarai aturan mesyuarat Dewan Rakyat.
“Saya bertanya di bawah Peraturan 14, mengapa senarai mesyuarat Dewan Rakyat mengenai satu usul Ahli Parlimen Puchong Jaya berada begitu bawah. Usul itu kita patut dibahaskan,” kata ketua Parlimen DAP itu.
Bagaimanapun, pertanyaan Kit Siang tidak diendahkan dan mengatakan ia taktik lama ahli Parlimen veteren itu.
Sementara itu, ahli Parlimen Segambut dalam sidang media menjelaskan beliau cuma meminta speaker menjelaskan alasan penolakan usul kerana tindakan terhadap 1MDB sudah diambil.
“Speaker menolak (usul) saya semalam yang saya terima pagi ini dengan alasan kes 1MDB sudah diambil tindakan seperti diumumkan.
“Soalan saya apakah tindakan yang diambil terhadap 1MDB. Perdana Menteri Najib Razak semalam berkata kegagalan bayar hutang hanya isu teknikal. Jadi, Dewan Rakyat kena bahas kerana wang rakyat yang digunakan untuk bayar hutang 1MDB.
“Malangnya, beliau menolak dengan berkata tindakan sudah diambil. Saya tanya apa tindakannya, tapi saya dihalau,” katanya yang tidak pasti sehingga bila hukuman tersebut dikenakan.
Manakala Kit Siang pula berkata tindakan speaker menolak usul tersebut menunjukkan seolah-olah beliau mahu menjadi sebahagian skandal tersebut.
“Speaker perlu jawab dalam Dewan Rakyat bukan dalam sidang media. Kalau beliau takut sangat, Pakatan Harapan akan adakan forum yang mana Pandikar dijemput hadir,” katanya.
Sebelum ini ahli Parlimen pembangkang menuduh speaker menolak lebih 30 soalan berkaitan 1MDB namun Pandikar mempertahankan tindakan tersebut dengan alasan “subjudis”. – 3 Ogos, 2017.
Komen