BEKAS hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan ke atas peguam Umno, Mohammad Shafee Abdullah berhubung kes pengubahan wang haram.
Empat timbalan pendakwa raya dalam pasukannya dari Pejabat Peguam Negara itu adalah Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib, Afzainizam Abdul Aziz dan Regine Sin.
Sri Ram dilantik pendakwa raya kanan pada 31 Ogos lalu untuk membantu Pejabat Peguam Negara dalam kes melibatkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd.
Shafee tiba di mahkamah pada kira-kira jam 11.20 pagi ini, dijangka bagi pendakwaan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (2001).
Beliau akan diwakili enam peguam – Harvinderjit Singh, Chetan Jethwani, Hasnal Rezua Merican, Sarah Abishegan, Rahmat Rezlan dan juga Mohamad Farhan Shafee yang merupakan anaknya.
Shafee kembali meraih perhatian media apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa beliau menerima RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak pada 2014.
Anwar menimbulkan dakwaan itu berdasarkan satu afidavit yang diperolehinya daripada Pejabat Peguam Negara.
Shafee ditahan pada pagi ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. – 13 September, 2018.
Komen