KERAJAAN tidak pilih kasih dalam menguatkuasakan undang-undang ke atas penyebar berita palsu sama ada mereka daripada kalangan pro pembangkang atau tidak, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak.
Beliau berkata setakat ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenal pasti 2,000 akaun palsu dan daripada jumlah itu sebanyak 75% sudah dikenakan tindakan, manakala selebihnya masih dalam siasatan.
“Pertama kita tidak beza individu yang sebar berita palsu sama ada ia pro kerajaan atau pro pembangkang kita akan tangani masalah ini berdasarkan ketetapan undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Sabak Bernam Mohd Fasiah Mohd Fakeh yang bertanya sama ada kerajaan akan kenal pasti “cybertrooper” pihak pembangkang untuk diambil tindakan.
Walaupun Malaysia komited untuk mengkaji hukuman sedia dalam kesalahan penyebaran berita palsu, namun kekangan masih timbul kerana kebanyakan pengendali platform media sosial berada di luar negara.
“Memang kita kaji keseluruhan semua hukuman dalam bentuk Akta Komunkasi dan Multimedia dan kita juga lihat untuk tambah baik hukuman tapi kita harus terima hakikat bahawa ada platform yang ‘hosted’ tidak di Malaysia tapi di luar negara jadi kita perlu kerjasama pengendali platform tersebut untuk mereka patuhi kehendak kita,” – 3 Ogos, 2017.
Komen