AL-QURAN tidak berbicara tetapi manusia yang berbicara kepada Al-Quran. Kerana itu, kata imam Ali, Al-Quran ada berbagai-bagai wajah. Pun begitu, Rasulullah pula tidak pernah mengajar umatnya kembali kepada Al-Quran secara semberono.
Maknanya, kembali kepada Al-Quran (dan sunnah) semata-mata dengan menghafal Al-Quran belum menjamin seseorang huffaz memiliki pemikiran Al-Quran. Sekadar menyendatkan ayat Al-Quran ke tempurung kepala bukan jaminan sikap kritis seseorang. Lebih-lebih lagi memfokuskan hafalan tanpa memikirkan mesej universal Al-Quran dalam mendepani zaman dan mengupas nilai kontekstualnya.
Dengan perkembangan hari ini, ia hanya lebih banyak mengundang aksi kekerasan. Hanya menggelegakkan ranting-ranting radikalisme agama dan terorisme.
Kini yang diperlukan bukan tafsiran sempit dari hafalan Al-Quran sebaliknya pemikiran Al-Quran yang rencam. Bukan lagi tafsiran yang jumud. Hafalan yang lazimnya ditafsirkan secara sehala menjadikan tafsiran sempit lagi menyempitkan.
Lantas, ramai orang hari ini mudah sentap dan marah-marah, kemudian bingung mengatakan semua masalah perlu kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Itulah yang selalu dijeritkan oleh pejuang-pejuang gerakan agama Islam di Malaysia
Justeru, menghafal Al-Quran bukan lagi penting. Sebaliknya tafsiran Al-Quran harus dimekarkan menjadi tafsiran yang dinamik. Bukan setakat hafalan Al-Quran bertubi-tubi sebaliknya memahami pesan Al-Quran dengan mengupasnya. Itu lebih penting. Ini sekali gus dapat mengelak dari tafsiran yang menyimpang dan keras (menghukum).

Jika Al-Quran gagal dibaca mengikut kontekstual, akan timbul kekacauan seperti yang tercatat dalam sejarah nasikh atau abrogasi. Menurut Ibnu Khuzayma dalam kitab Bayan al-mansukh fil Quran bi ayatu sayf, Al-Quran pada asalnya banyak menggambarkan ayat-ayat yang menganjurkan sikap toleransi, kesabaran, kemaafan, dan pengampunan.
Namun, sebanyak 116 ayat Al-Quran dibatalkan dan diganti dengan ayat-ayat “pedang”. Begitu juga sarjana klasik seperti Muqatil Ibn Sulaiman yang menyebut 16 ayat Al-Quran yang menyebut sikap rahmah, damai antara bukan Muslim digugurkan dengan ayat bernada perang.
Sebenarnya, tidak pelik ayat-ayat bernada keras banyak diulang-ulang akhir-akhir ini. Ayat tersebut dihamburkan untuk menepis hubungan baik antara agama. Begitulah jadinya jika kita gagal memahami hubungan konteks sesuatu ayat.
Pada asalnya bernada toleransi tetapi ia boleh berubah menjadi dingin. Sedangkan konteks penurunan ayat tersebut bukan begitu. Cuma, kita gagal memahami kehendak dan maksud tersebut.
Wujudnya keberagaman pandangan dan tafsiran dalam Al-Quran sebenarnya membentuk paradigma pemikiran Islam. Kita perlu tahu, para ulama juga tidak terhindar daripada perbezaan tafsiran dan pandangan. Sebab itulah, banyak hal yang kita anggap benar, belum tentu benar, sebenar-benarnya.
Sudah tentu, pandangan sebegini mengundang marah terutama dalam kalangan masyarakat Melayu Islam dan para agamawan. Seolah-olah ia menghina kemuliaan menghafal Al-Quran. Bagi mereka, Al-Quran satu-satunya kitab keimanan yang sakral.
Tidak boleh tidak, jangan diganggu, apatah lagi diusik dan dirobek kandungan tafsiran tersebut. Itulah pandangan kebanyakan orang Islam – memaksakan Al-Quran bersifat kaku dan tunggal. Memaksakan satu-satunya pandangan ulama tradisionalis tanpa peduli betapa berseleraknya tafsiran lain.
Pandangan ulama tradisonalis juga tidak semestinya tepat dan sesuai dengan zaman sekarang. Ulama tidak sempurna. Nabi juga tidak maksum – pernah ditegur Tuhan. Jadi, mengapa memaksakan satu pandangan saja?
Agama perkakas penguasa
Al-Quran pula dijadikan perkakas untuk memuaskan tembolok penguasa demi mengukuhkan cengkaman politik kekuasaan. Di Malaysia, usaha melahirkan pemikir keagamaan yang kritis sangat digeruni elit penguasa. Mudahnya, agama hari ini diacuankan kelompok agama yang tidak akan mengganggu gugat kekuasaan politik dan elit penguasa — senang dibentuk dan dikawal sewenang-wenangnya.
Misalnya, semakin ramai penghafal Al-Quran yang tidak kritis, semakin mudah agama dikawal. Pengesahan wacana agama yang bersifat anti rasional sudah lama dibentuk dan dirantai oleh rejim lama.
Malangnya, kerajaan baharu juga tidak terlepas dari tabiat itu. Mungkin kerana kerajaan memikirkan Al-Quran sekadar simbol walau pelbagai usaha dicanang-canang untuk menaik taraf, kononnya supaya dilihat tidak meminggirkan golongan tahfiz.
Itulah pemikiran elit penguasa. Menyuapkan simbol agama kepada masyarakat demi kestabilan kekuasaan politik. Masyarakat mudah terpesona lalu dimandulkan dengan simbol agama. Sedangkan, pada saat dunia mengalami krisis keadilan dan kemanusiaan sejagat, kebersatuan umat beragama lebih dipentingkan. Seharusnya kerajaan melahirkan kelompok agama yang membina perdamaian antara agama berbanding melambakkan penghafal Al-Quran.
Tafsir tidak pernah sunyi
Pada zaman Rasulullah tidak timbul masalah memahami Islam. Para sahabat terus berjumpa dan bertanya kepada baginda selaku rujukan ketika itu. Oleh sebab itu, jarang timbul kekaburan dalam memahami kandungan Al-Quran.
Nabi sebenarnya banyak menyampaikan pesan kandungan Al-Quran yang bersifat universal. Contohnya, Al-Quran sebagai asas melawan penindasan, membantu kemiskinan, melindungi kaum wanita dan golongan lemah. Selain itu, menegakkan keadilan, juga memupuk sikap egalitarian. Jelas, baginda tidak sesekali memupuk sikap perkauman dan kebencian.
Al-Quran diwahyukan kepada nabi. Pengalaman kenabian tidak akan terpisah dengan pengalaman kemanusiaan. Wahyu berubah dari tanzil menjadi takwil. Maksudnya, Al-Quran yang ada sekarang tidak asing daripada pemahaman nabi yang bergeser dengan kebudayaan dan masyarakat.
Mudahnya, dengan memandang Al-Quran, mestilah dilihat dalam perspektif, teks sakral dari Allah yang bersifat metafizik – bersifat ghaib, tidak diketahui. Sedangkan teks fizikal tersebut yang sampai kepada kita pada hari ini melalui dimensi sejarah pengalaman kemanusiaan yang sering berubah-ubah.
Jadi, Al-Quran tidak pernah sunyi dari pengalaman kemanusiaan. Sejak zaman nabi lagi, tafsir Al-Quran bukan perkara baru. Kemuncak kekuasaan Islam semakin luas dan manusia semakin rencam, nabi mengutus sahabat bernama Muaz ke Yaman. Pesan nabi, Al-Quran dan Sunnah sebagai sumber utama dan ijtihad sebagai alternatif.
Jelaslah, nabi mengetahui bahawa Al-Quran dan Sunnah bukan satu-satunya jawapan yang mampu menjawab keresahan umat. Ijtihad itulah sebagai alternatif yang disebut tafsir. Maknanya, manusia sudah mengambil alih kerja memikirkan semula inti pati Al-Quran.
Sebaliknya, masalah banyak timbul selepas kewafatan nabi. Ketika pasca nabi, Al-Quran tidak pernah sunyi untuk dibincangkan. Misalnya, ketika zaman sahabat Abu Bakar dan Umar, tafsir Al-Quran mula berkembang mengikut acuan penguasa ketika itu.
Seperti Abu Bakar, seorang panglima yang tegas menjaga kedaulatan Islam misalnya memerangi kelompok murtad kerana tidak membayar zakat – kerana ia menjejaskan kestabilan kewangan negara. Sedangkan Al-Quran tidak secara jelas menyebut mereka yang tidak membayar zakat wajib dibunuh.
Al-Quran sekadar menyebut zakat sebagai rukun Islam untuk melindungi keseimbangan sosial. Dalam hal itu, nabi juga tidak membunuh, malah tidak memaksa. Tindakan Abu Bakar ditandai sebagai suatu kebijakan politik. Namun, ia sudah tentu kelihatan bertentangan dengan kehendak nabi dan Al-Quran, namun itulah tafsir yang dipelopori dari sikap Abu Bakar ketika itu.
Begitu juga Umar, tafsir Al-Quran menuju fasa progresif. Umar mengambil faktor tafsiran kemaslahatan umum. Umar tidak memotong tangan pencuri kerana faktor kemiskinan. Tambahan pula, beliau memikirkan faktor kemunduran ekonomi pada zaman itu sedangkan Al-Quran menyebut, potong tangan orang yang mencuri.
Politisasi Al-Quran
Perpecahan antara Imam Ali dan Muawiyah telah melahirkan pergulatan politik dan pemikiran Islam hingga mengakibatkan umat Islam terperangkap dalam perpecahan. Daripada paradigma demokratik bertukar kepada paradigma dinasti (khilafah). Lantas, kekuasaan mendominasi kepentingan umat Islam.
Maka saat itu, pesan Al-Quran yang universal tidak lagi dipakai sebaliknya sistem kekuasaan bertuhan (wakil Tuhan) menjadi sandaran. Kekejaman pemerintahan tidak boleh digugat, malah Al-Quran dijadikan perisai bagi melindungi kebobrokan.
Sebahagian ulama menjadi lidah rasmi pemerintah yang zalim. Ringkasnya, pemerintah zalim menggunakan Al-Quran dan ulama sebagai benteng penyelamat diri sekali gus menutup kezaliman mereka. Rakyat pula dimandulkan dengan dalil-dalil agama yang dibuat-buat mengikut selera mereka.
Selepas itu, terjadi perpecahan dan tercerai-berai mazhab. Akibatnya munculnya polarisasi pemahaman Al-Quran – menjadi simbol politik kekuasaan dengan agama ditafsirkan melalui selera pemerintah. Justeru, pemimpin dinasti Umayyah menganggap diri mereka sebagai khalifah atau wakil Tuhan dan bayangan-Nya di muka bumi. Begitulah elit penguasa menggunakan dalil-dalil agama demi keserakahan mereka.
Itulah naratif pergulatan Al-Quran dan politik. Sehingga kini, polemik kekeruhan atas nama agama seperti mutakhir ini mengundang banyak aksi kekerasan. Agama dikawal ketat dengan satu-satunya pandangan yang tidak boleh tidak mesti dipatuhi.
Al-Quran dijadikan dalil untuk menyebar kebencian dan menjauhi perdamaian lantaran agama terperangkap dengan pelukan autoritarian politik. Justeru, ia menjadi fatwa agama yang menindas. Akhirnya Al-Quran dicorakkan oleh pemikiran manusia si penindas.
Yang jelas, fenomena sebegitu menebal pada zaman rejim lama. Meskipun kerajaan baru dilihat cuba menampilkan wajah Islam rahmah, tidak terlepaskah mereka dari belenggu sikap autoritarian itu? – 13 September, 2018.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
Komen