Forest City tawarkan ‘kad hijau’ untuk pikat pembeli warga asing


Khoo Gek San

Difahamkan bahawa pemaju Forest City iaitu Country Garden Pacificview Sdn Bhd menggunakan taktik promosi beli rumah dilengkapi dengan status PR di pasaran China dan Hong Kong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 September, 2018.

WARGA asing dipikat untuk membeli hartanah di projek kontroversi Forest City dengan janji pemberian status penduduk tetap (PR) menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), kata sumber industri.

Skim MM2H digunakan kepada calon pembeli Forest City sebagai “kad hijau”, sama seperti skim di Amerika Syarikat yang memberikan penduduk tetap kepada warga asing.

Pemaju Forest City bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya oleh The Malaysian Insight berkenaan tawaran itu.

Difahamkan bahawa pemaju Forest City iaitu Country Garden Pacificview Sdn Bhd menggunakan taktik promosi itu di pasaran China dan Hong Kong.

“Bukan Forest City saja. Pemaju lain turut menggunakan ini (kaedah kad hijau) sebagai promosi ketika mereka cuba mendapatkan projek di luar negara,” kata sumber yang enggan dinamakan, kepada The Malaysian Insight.

“Tetapi bahagian yang mengelirukan ialah pemaju hanya mengetepikan yuran permohonan RM10,000 untuk program MM2H. Tidak ada jaminan pembeli akan dapat status PR.”

MM2H ialah skim diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia sebagai satu cara untuk membolehkan warga asing untuk bersara atau tinggal di Malaysia untuk jangka masa panjang. Program ini menjemput warga asing untuk mendapatkan taraf penduduk untuk pemohon dan juga keluarga atau tanggungan mereka.

Kelulusan permohonan MM2H dikendalikan oleh Putrajaya, jadi kelayakan individu pembeli rumah untuk program itu di luar kawalan pemaju.

Forest City dikritik oleh kerajaan Pakatan Harapan termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana tidak memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

“Ada juga pembeli yang hanya mahu melabur dalam hartanah, tetapi tidak mahu berpindah ke Malaysia. Tetapi memandangkan permohonan dibuat untuk mereka secara percuma, mereka mungkin terima.

“Pemohon perlu memenuhi semua dokumen yang disyaratkan. Mereka perlu tunjuk bukti aset kewangan, pendapatan bulanan, dokumen pencen dan sebagainya,” kata sumber, menambah syaratnya ketat untuk warga asing berpindah ke Malaysia.

Difahamkan kira-kira 200 hingga 300 permohonan MM2H daripada pembeli warga asing Forest City dihantar kepada kerajaan, dengan 90% daripadanya dari China. Selebihnya dari Hong Kong dan Indonesia.

Pada Isnin, The Washington Post melaporkan pegawai Country Garden mengakui hartanah di Forest City mungkin terlalu mahal untuk rakyat Malaysia.

Isu tentang projek Forest City yang bernilai RM400 bilion itu bermula apabila projek dimajukan syarikat China itu dikritik oleh Dr Mahathir sejak beliau masih sebagai pembangkang, sebelum PH menang pilihan raya umum 9 Mei.

Bulan lalu, beliau dilaporkan berkata pembelian hartanah oleh warga asing tidak menjamin mereka status penduduk secara automatik di Malaysia.

Minggu lalu, dalam temu bual dengan Sinar Harian dan Malaysiakini, Dr Mahathir berkata membiarkan warga asing membeli rumah di Forest City akan membawa pembangunan kepada negara tetapi pada masa sama rakyat Malaysia, mungkin terpinggir.

Skim MM2H digunakan kepada calon pembeli Forest City sebagai kad hijau, sama seperti skim di Amerika Syarikat yang memberikan penduduk tetap kepada warga asing. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 September, 2018.

Sumber berkata kenyataan Dr Mahathir tentang visa tidak jelas, kerana tidak pasti sama ada beliau bercakap tentang permit penduduk tetap, visa penduduk jenis lain atau kelayakan untuk program MM2H.

“Seorang warga asing tidak perlu membeli hartanah untuk memohon program MM2H. Saya fikir kenyataan perdana menteri tidak ditujukan kepada sesiapa,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

The Malaysian Insight menghubungi Country Garden untuk mendapatkan komen berkenaan pendekatan pemasaran “beli rumah dan dapat kad hijau” tetapi pemaju terbabit belum memberi jawapan.

Bagaimanapun semalam pemaju mengeluarkan kenyataan mengatakan Forest City melihat jumlah peningkatan pembeli rakyat Singapura dan Malaysia susulan usaha pemasarannya.

Pemaju juga berkata usaha pemasaran itu turut mula menyasarkan negara lain seperti Hong Kong, Macau, Taiwan, Singapore, Indonesia, Thailand, Laos, Myanmar, Filipina, Emiriyah Arab Bersatu dan Jepun.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan The Washington Post, yang turut memetik pegawai Country Garden sebagai berkata Malaysia tidak mahu melihat “warga China mengambil alih tanah rakyat Malaysia” dan situasi itu menjadi “tegang” ketika cubaan kerajaan baharu mengkritik pemilikan warga asing di Forest City.

“Mereka benci cara kami berniaga. Jelas yang harga hartanah ini terlalu tinggi untuk rakyat Malaysia dan kami sudah pun secara khusus memasarkannya kepada warga China,” kata pegawai terbabit dipetik sebagai berkata.

Dilaporkan bahawa dua pertiga unit di Forest City sudah pun dijual kepada pembeli China.

Country Garden Pacificview (CGPV), pemaju utama Forest City, satu usaha sama antara pemaju China, Country Garden dan Esplanade 88 Danga Bay Sdn Bhd (EDSB), syarikat berkaitan dengan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ). – 13 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen