KERAJAAN menganggap tindakan senator pembangkang menggagalkan usaha memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 bertujuan untuk memalukan Pakatan Harapan.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Undang-undang Hanipa Maidin juga berkata, usul berkenaan pada waktu ini hanya ditangguhkan dan tidak ditolak sepenuhnya.
Oleh itu, usul untuk pemansuhan itu perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat, yang akan mengambil masa kira-kira setahun, katanya.
Hanipa menjelaskan, Perkara 68 Perlembagaan Persekutuan menetapkan, Dewan Negara tidak boleh menolaknya sesuatu usul sepenuhnya tetapi boleh menangguhkan usul.
“Kerajaan) tahu sejak hari pertama lagi yang (jumlah) senator BN melebihi senator PH. Tetapi, di bawah undang-undang sedia ada – Artikel 68 – Dewan Negara tidak boleh menolaknya secara total kerana apa yang mereka boleh lakukan adalah menangguhkannya.
“Jadi apa yang terjadi hari ini adalah untuk menangguhkannya dan untuk memalukan PH,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Hanipa menambah, undang-undang tersebut masih boleh dikuatkuasa sama ada oleh polis atau agensi berkaitan namun kerajaan tidak akan mengambil tindakan mengikut undang-undang itu.
“Itu saya serahkan agensi penguatkuasa. Tapi bagi saya, pendirian kerajaan PH, kami tidak suka dengan undang-undang ini sebab itu kami ingin memansuhkannya.
“Saya tak rasa kerajaan PH akan mengambil sebarang tindakan terhadap sesiapa di bawah undang-undang ini. Tapi ia bergantung kepada Peguam Negara,” katanya.
Usul pemansuhan itu ditolak oleh 28 senator pembangkang terdiri daripada wakil BN dan PAS manakala 21 senator PH menyokong. Tiga senator berkecuali dan tidak selebihnya tidak hadir.
Seorang lagi Senator PH Yusmadi Yusoff pula berkata keputusan Dewan Negara menolak usul kerajaan itu bukan mengejutkan kerana bilangan senator pembangkang BN dan PAS masih lagi menguasai dewan itu.

Keputusan itu sudah dijangka malah tindakan sama mungkin akan berulang apabila kerajaan mengemukakan usul lain, katanya yang baru dilantik senator dua minggu lepas.
“Namun saya juga ucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana demokrasi bukan sahaja pada sisi kuasa tetapi suara yang membahaskan isu dan undang-undang yang kini amat berkualiti.
“Jadi walaupun keputusan hari ini dari segi kuasa tetapi suara rakyat sebenarnya semakin besar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dewan Negara kini mempunyai 68 anggota dengan 28 senator mewakili BN, tiga dari PAS, tiga dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), dua dari Gerakan dan seorang wakil Parti Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF).
Tiga lagi senator mewakili masyarakat Siam, Orang Asli dan orang kurang upaya (OKU).
Pemansuhan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos lepas, empat bulan setelah diwartakan sebagai undang-undang.
Akta itu diwartakan oleh pentadbiran Najib Razak pada 11 April lalu, lebih kurang sebulan sebelum PRU14.
Pada sidang Dewan Rakyat ketika itu, Hanipa berkata akta itu dimansuhkan kerana undang-undang sedia ada sudah memadai untuk menangani penyebaran berita palsu.
“Pemansuhan akta itu sesuai dengan manifesto PH yang berikrar menghapuskan akta yang menzalimi rakyat dan undang-undang ‘rimba’ kerajaan terdahulu,” katanya ketika menggulung perbahasan pemansuhan akta itu di Dewan Rakyat.
Akta itu diperkenalkan sebelum PRU14 antara lain bertujuan untuk mengekang penyebaran berita palsu, namun pelbagai pihak termasuk PH yang jadi pembangkang pada masa itu menyifatkan sebagai cubaan menyekat maklumat yang menjejaskan pentadbiran BN.
Akta itu mentakrifkan “berita tidak benar” sebagai “apa-apa berita, maklumat, data dan laporan yang bahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.
Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun bagi kesalahan antara lain mengadakan, menawarkan atau menerbitkan berita tidak benar atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar. – 12 September, 2018.
Komen