POLIS masih lagi meneruskan siasatan terhadap bekas pegawai kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman yang ditahan kerana merakam bawah skirt seorang wanita menggunakan telefon bimbit di sebuah kedai cermin mata di Solaris Dutamas, Sri Hartamas.
Kertas siasatan masih lagi belum siap, dan ini melambatkan siasatan kes, menurut sumber polis yang memberitahu The Malaysian Insight.
“IP (kertas siasatan) masih ada dengan kami, belum diserahkan kepada DPP (timbalan pendakwa raya). Kami akan mendakwa apabila semuanya siap,” kata sumber tersebut.
Ahad lepas Azis memecat pegawai terbabit selepas laporan polis dibuat terhadapnya.
Bagaimanapun, pegawai itu menafikan melakukan perbuatan tersebut. Beliau berkata tidak merakam bawah skirt wanita itu seperti yang didakwa dalam laporan polis yang dibuat pada Sabtu.
Beliau juga berkata telah menyerahkan telefonnya kepada wanita tersebut selepas menemuinya.
“Saya tidak rekod macam yang semua orang nampak.
“Di tangan saya ada dua handphone, satu bos (Azis) punya. Nampak macam saya rekod video sebab tangan saya dekat bawah. Tapi saya tidak rekod,” katanya.
Pegawai itu juga mendakwa sudah menjelaskan kepada wanita berkenaan bahawa beliau tidak merakamkan apa-apa menggunakan telefon genggamnya, tetapi wanita itu tetap membuat laporan polis.
“Saya rasa pemilik kedai ada niat tidak baik. Dalam laporan polis pun sengaja letak nama bos saya macam cuba menyerang bos saya. Mungkin ada kaitan dengan politik untuk jatuhkan imej Azis. Saya tidak buat video ini,” katanya.
Dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Daerah Sentul, wanita berusia 30-an itu berkata suspek datang ke kedai di Solaris Dutamas bersama Azis pada kira-kira jam 11 pagi.
Wanita itu kemudiannya membawa Azis dan pembantunya ke bilik rawatan untuk pemeriksaan mata.
Ketika pemeriksaan sedang dijalankan, suspek mengeluarkan telefonnya dan mula merakam dari belakang mangsa.
Wanita itu berkata, beliau berasa kurang selesa dengan perbuatan suspek dan rakaman CCTV jelas menunjukkan lelaki berkenaan merakam dari bahagian bawah skirtnya.
Ketua polis daerah Sentul, ACP R Munusamy mengesahkan pihaknya menerima laporan itu tetapi enggan mendedahkan maklumat lanjut.
Bagaimanapun, rakaman CCTV tersebut tular di media sosial. – 12 September, 2018.
Komen