SELAMA menjadi wartawan sejak 25 tahun lalu, bukan hal aneh berdepan dengan kemarahan menteri. Saya pernah dimarahi Sanusi Junid ketika beliau menteri pertanian pada 1994. Teruk juga marahnya sampai meninggikan suara: “Saya hanya nak RTM. Awak tak perlu masuk!”
Itu marah Sanusi. Tindak balas sebab sebelum itu Utusan Malaysia dituduh memboikot liputan terhadap dirinya.
Pada tahun yang sama, menteri penerangan Mohamed Rahmat juga pernah marahkan saya. Ketika wartawan lain dibenarkan masuk ke biliknya, saya dilarang.
Nasib saya baik, sebab saya menanti di tingkat bawah Angkasapuri dan mendapatkan bahan liputan melalui rakan media yang lain. Itu ikhtiar mendapatkan maklumat walaupun dihalau keluar oleh menteri.
Alasannya sama: Mohamed Rahmat marahkan laporan yang dianggap tidak tepat mengenai dirinya. Walaupun bukan saya yang tersalah lapor, namun dihukumnya secara pukal.
Menteri banyak ragamnya. Ada kala kebesaran pangkat dan kedudukan menambahkan lagi ego dan kerenah mereka. Kita media tidaklah kemaruk untuk menghamba diri pada karakter bongkak seorang menteri.
Namun, kita sabar dan prihatin melayan keadaan kerana di tangan seorang menteri ada maklumat yang penting untuk masyarakat dan negara. Itu sebab kita wartawan taat mengejar mereka.
Selepas PRU14 pada 9 Mei lalu, berakhir era kabinet BN. Juga berakhir era melihat dan melayan ragam perangai menteri rejim lama.
Sekarang saya tidak lagi menjalankan liputan mengejar berita. Namun, sebagai warga negara dan rakyat awam, saya membaca dan mengikuti perkembangan berita. Era ini lebih kompleks kerana kewartawanan berita portal jadi pilihan.
Kewartawanan portal lebih cepat, lebih daring dan lebih mandiri dalam menyatakan prinsip siaran beritanya!
Cuma, apabila rakan-rakan editor portal menzahirkan cerita – wujud kerenah dan karakter pelik menteri-menteri tertentu, segera teringat zaman lama. Era sakit kepala melayan Kabinet rejim lama terasa berulang semula.
Cuma, tidak pula saya sangka – isu perangai era lama itu, akan berlarutan pada era Malaysia baharu. Apalagi, sikap tidak matang menyelar editor yang menyiarkan banyak berita mengkritik menteri dan kementerian tertentu.
Tidak semua menteri, ya. Jangan salah faham. Menteri Pengangkutan Anthony Loke kekal popular di mata wartawan. Menteri Tenaga, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin disenangi kerana mesra. Menteri Penerangan Gobind Singh Deo dicari kerana jawapannya selalu tepat dan tajam dan punya nilai berita.
Cuma agak terperanjat apabila ada menteri yang mudah emosional apabila dikritik. Menteri memang manusia biasa. Ada perasaan juga. Tetapi perasaan menteri tidak patut bereaksi seperti hendak bermusuh dengan wartawan dan editor. Itu bukan cara menteri yang berkarisma. Menteri yang matang tidak akan melenting, apabila berasa tidak gembira dengan laporan media massa.
Wartawan portal bukan cybertroopers. Mereka bukan kelompok soldadu media maya yang dibayar untuk menghuru-harakan keadaan. Portal media massa yang ada integriti. Jadi, apa saja isu semasa yang dibangkitkan media portal, ia harus ditangani dengan budiman oleh seorang menteri.
Kenalah jawab dengan jelas dan bernas. Kenalah tangani tekanan atau apa juga suasana dengan sikap bijaksana. Bukan mencela atau menuduh, ada agenda jahat untuk menjatuhkan mereka. Itu sikap politik lama. Tidak lagi relevan dengan era terbuka dan serba pembaharuan ini.
Seorang menteri akan nampak kemereh dan selekeh kalau tindak-tanduknya tidak matang dan tidak molek. Menteri yang bijak dan berdaya intelek pastinya tidak mudah merah telinga apabila berdepan laporan berita yang tidak disenanginya
Teman editor, terutama rakan-rakan portal, bukan sehari dua mengenali senarai menteri Kabinet hari ini. Sebahagian sudah lama kenal mesra kerana mereka menyokong Pakatan Harapan (PH) sejak sebelum berkuasa.
Jadi, apabila ada rungutan mengenai menteri mulai komplen dan merungut marah-marah dengan tuduhan itu ini dan mempertikaikan siaran editorial rakan-rakan portal, ia terasa kurang enak didengar. Malah, sengal pula lubang telinga mendengarnya.
Kenapa menteri perlu marah-marah apabila ditegur? Tiap isu kena dijawab. Diberi penjelasan. Kalau portal terus membangkitkannya, pasti ada yang tidak kena!
Mustahil menteri mengharapkan media massa melaporkan semua tindakan dan keadaan kementerian adalah 100% cemerlang dan baik-baik belaka!
Portal berita tidak digerakkan oleh jenakawan atau badut maklumat. Jadi mustahil, para editor mahu menjadikan laporan media sebagai alat menghiburkan menteri dan kementerian mereka. Sudah pasti akan ada kritikan apabila wujud isu yang dianggap tidak wajar dan perlukan teguran.
Menteri dan pasukan politiknya jangan sentiasa berpegang pada sikap: “Tiap berita negatif sebagai ada agenda dan muslihat untuk menjatuhkan sesiapa!”
Wartawan portal sudah berdekad berada bersama anda sejak sebelum berkuasa. Justeru, kena ingat, bahawa mereka bukan musuh anda.
Tidak perlu perincikan siapa menteri dan kementeriannya. Tetapi, sekadar peringatan mesra: Kritikan dalam laporan adalah lebih baik daripada media massa berbohong kepada anda semua. Seorang menteri memerlukan kebenaran dan sekali pun pahit, realitinya perlu diterima.
Jangan mudah melabel: “Semua berita negatif adalah agenda menjatuhkan saya!”
Bukankah anda naik ke jawatan menteri kerana sokongan rakan-rakan portal yang selama ini yakin dengan aspirasi politik dan agenda PH?
Jadi salahkah mereka apabila menegur anda. Lagi pun hubungan wartawan dan editor portal dengan menteri, tentunya bukan skandal cinta. Nak kena sayang dan asyik betul saja semuanya.
Hubungan ini wujud dan terjadi kerana kita semua sayangkan negara!
Sekarang masa untuk pak menteri pula: Tepuk dada tanya selera! Pilihlah selera yang budiman dan menggambarkan jiwa besar anda sebagai pimpinan. – 12 September, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen