Jawatan timbalan presiden PKR bukan penentu Anwar jadi PM, kata Haniza


Nabihah Hamid

Calon ketua Wanita PKR, Haniza Talha berkata peralihan kuasa Anwar Ibrahim menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri tiada kaitan dengan pemilihan parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

PERSAINGAN jawatan timbalan presiden PKR bukanlah penentu Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri atau tidak, kata seorang pemimpin parti daripada kem Mohamed Azmin Ali ketika kempen pemilihan parti itu semakin hangat menjelang pemilihan bermula 22 September ini.

Peralihan kuasa Anwar menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri tiada kaitan dengan siapa pun yang terpilih sebagai timbalan presiden PKR kerana sudah ada konsensus melibatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH), kata calon ketua Wanita PKR, Haniza Talha.

“Saya rasa jalan betul adalah melalui konsensus, perbincangan. Sebenarnya semua pimpinan pun sudah bersetuju untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri. 

“Selepas itu, perincian untuk menjadikan Anwar sebagai PM seharusnya dibincangkan bersama sebab itu merupakan agenda kita dalam PH,” kata Haniza kepada The Malaysian Insight. 

Haniza yang juga Adun Lembah Jaya mengulas kempen Rafizi dan kenyataan pengerusi Invoke Malaysia itu, kononnya beliau adalah individu yang akan mengangkat Anwar menjadi perdana menteri, sebagai langkah terdesak. 

“Janganlah kita hendak jadi hero kononnya kita yang menentukannya dengan kedudukan sebagai timbalan presiden,” kata Haniza yang menyokong kepimpinan Azmin.

Sejak lebih sebulan lalu, Rafizi dan pasukannya yang bergabung di bawah slogan “Reformasi 20 Tahun” menjelajah negeri-negeri berkempen dengan mesej itu, sementara beberapa pemimpin dalam pasukannya menuduh Azmin mahu menggagalkan misi Anwar jadi perdana menteri.

Isu itu juga menjadi perang mulut antara Rafizi dengan seorang lagi Naib Presiden PKR, Tian Chua. 

Bekas Ahli Parlimen Batu itu mendakwa Rafizi mendahului parti apabila mengumumkan satu kerusi Parlimen akan dikosongkan minggu ini bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding pilihan raya kecil, menjadi ahli Parlimen dan seterusnya perdana menteri.

Menurut konsensus dalam Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri kelapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

Tian mendakwa tidak semua pemimpin kanan dalam PKR tahu mengenai rancangan itu, dan bertanya apakah parti itu sudah jadi seperti kongsi gelap.

Dalam satu wawancara dengan New Straits Times baru-baru ini, Chua berkata dakwaan pertembungan jawatan timbalan presiden PKR ada kaitan dengan kedudukan perdana menteri adalah tidak masuk akal.

“Walaupun calon perdana menteri dipilih oleh semua ahli PKR dan kepimpinan pusat parti, pencalonan itu hanya boleh direalisasikan oleh konsensus PH,” katanya seperti dipetik New Straits Times, Ahad lalu.

Sementara itu, penganalisis sosio politik Dr Awang Azman Awang Pawi melihat agak sukar untuk PKR berpatah balik daripada keputusan yang telah dipersetujui sebagai konsensus dengan PH, iaitu Anwar sebagai pengganti perdana menteri.

“Kita kena ingat perjanjian perlu dihormati. Jadi mereka tidak boleh membuat melanggar janji telah termeterai,” katanya, sambil mengingatkan calon perdana menteri itu juga perlu dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dr Mahathir minggu lalu sekali lagi mengesahkan beliau akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, seperti yang mereka persetujui. – 11 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen