Kemungkinan amaran gelombang haba di 4 daerah Sabah


Jason Santos

Kota Marudu, Tongod, Sandakan dan Beaufort mungkin akan diberikan amaran tahap 1 gelombang haba sekiranya cuaca panas berlarutan sehingga esok. – Gambar The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2017

EMPAT daerah di Sabah mungkin akan diberi amaran gelombang haba tahap 1 sekiranya cuaca panas berlarutan sehingga esok, kata Jabatan Meteorologi negeri.

Pengarahnya, Azemi Daud berkata Kota Marudu, Tingod, Sandakan dan Beaufort merekodkan bacaan cuaca paling tinggi sejak 30 Julai.

“Kota Kinabalu, Keningau dan Sandakan mencecah 35°C, manakala Kudat dan Tawau 34°C sejak tiga hari lalu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jawatankuasa teknikal Menteri Sains Teknologi dan Inovasi menetapkan amaran tahap 1 gelombang haba pada 22 Mac  dengan bacaan antara 35°C dan 37°C.

Sabah merekodkan purata 34°C bulan lalu.

“35°C masih lagi selamat dan normal, jabatan akan mengeluarkan amaran tahap 1 jika cuaca tidak berubah atau meningkat dalam tempoh tiga hari berturut-turut bermula semalam,” kata Azemi.

Menurutnya cuaca panas yang melanda negeri itu berpunca daripada Taufan Noru, yang melanda kawasan barat Lautan Pasifik.

“Noru berubah menjadi supertaufan hari ini dan melalui timur Taiwan, namun ia dijangka reda kerana menuju ke arah tanah besar China.”

Katanya, cuaca akan kembali normal di Sabah apabila taufan Noru semakin lemah, di mana ia membolehkan angin timur bertipu di atas negeri itu bermula 6 Ogos. – 2 Ogos, 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen