SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan operasi besar-besaran sekali gus menahan seramai 10 individu kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan perlombongan bauksit secara haram di daerah Kuantan, hari ini.
Kesemua suspek terdiri daripada sembilan kakitangan Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) Pahang dan seorang pegawai kanan Kastam.
Dalam tangkapan pertama, SPRM menahan pegawai kanan Kastam berusia 56 tahun terbabit di sebuah lokasi di Kuantan pada jam 12.15 tengah malam dan direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Mahkamah Majistret Kuantan pagi ini.
Sementara itu, sembilan lagi kakitangan PTG Pahang yang berusia antara 29 hingga 59 tahun itu pula ditahan di sekitar Kuantan kira-kira jam 3.30 hingga 3.45 petang ini.
SPRM turut menyerbu PTG Pahang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta Pelabuhan Kuantan bagi merampas beberapa dokumen berkaitan.
Selain itu, SPRM menahan 18 buah lori yang sedang mengangkut bauksit dari lombong-lombong haram di sekitar Bukit Goh dan Bukit Sagu tengah malam semalam.
Operasi tersebut dilancarkan susulan SPRM mendapati aktiviti perlombongan secara haram masih berlaku walaupun kerajaan negeri mengarahkan agar tempoh moratarium dilanjutkan.
Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Ahmad Khusairi Yahya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata pihaknya memantau kegiatan sindiket ini sejak beberapa bulan yang lalu.
“Selepas mengumpul maklumat-maklumat hasil risikan pegawai, kami melancarkan operasi sejak malam semalam,” ujar beliau. – 2 Ogos, 2017.
Komen