PEMUDA Pakatan Harapan (PH) Sabah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan berhubung surat yang mengatakan dakwaan rasuah melibatkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) “tiada unsur jenayah” dan “tiada tindakan lanjut” pada Disember tahun lalu.
Ketuanya, Razeef Hakimi berkata surat berkenaan adalah balasan rasmi agensi terbabit apabila mereka mempersoalkannya pada 23 Disember, 2016.
“Kami mahu SPRM mengesahkan ketulenan surat itu kerana ia menafikan dakwaan dan membuat laporan polis berhubung perkara itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada 30 Julai, SPRM menafikan pembabitan JANS dalam salah laku dalam siasatan rasuah, dan menyatakan tuduhan itu adalah daripada media sosial.
Razeef yang hadir ke pejabat SPRM Sabah hari ini juga menyatakan Pemuda PH pernah hadir ke pejabat itu pada 23 Disember 2016 untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung siasatan kes berkenaan.
Katanya, Pemuda PH menerima jawapan bertulis bertarikh 29 Disember tahun sama, yang mengatakan dakwaan skandal rasuah itu tiada elemen jenayah dan di luar bidang kuasa SPRM dan tiada tindakan diambil.
“Pemuda PH sekali lagi hadir pejabat SPRM pada 14 Januari 2017 untuk meminta agensi itu mengesahkan maklum balas berkenaan, namun seroang pegawainya berkata kes itu disiasat di bawah Akta Penggubahan Wang Haram,” kata Razeef.
Katanya pada 17 Januari Pemuda PH sekali lagi ke pejabat SPRM terbabit untuk meminta kes itu disiasat secara terbuka selepas mengatakan tiada elemen jenayah.
“Namun seorang pegawainya enggan beri kebenaran kerana kes itu katanya akan dibawa ke mahkamah pada Februari 2017,” katanya.
Pada 30 Julai, iaitu lapan bulan selepas kejadian itu, satu posting di Facebook milik My Nation News mendakwa maklum balas SPRM itu adalah palsu dan laporan polis sudah dibuat suruhanjaya berkenaan di Putrajaya.
“Pemuda PH meminta SPRM agar lebih jelas sama ada surat itu dikeluarkan kepada kami tulen atau sebaliknya, sekiranya ia tulen, SPRM perlu meminta maaf kepada kami,” katanya.
Pada 29 Disember 2016, tiga individu termasuk bekas pengarah dan isterinya didakwa atas tuduhan penggubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. Pendengaran kes dijadualkan pada 8 Ogos.
Mohd Tahir Mohd Talib, 54, didakwa atas 12 pertuduhan melakukan transaksi melibatkan hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan juga memperoleh, menerima, memilik, menyamar, memindahkan, menukar, bertukar, membawa, melupuskan atau menggunakan hasil kegiatan yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Isterinya Fauziah Piut, 51 dan Lim Lam Beng, 62 turut didakwa atas 23 pertuduhan di bawah akta yang sama, membabitkan wang berjumlah RM4.6 juta.
Defendan berdepan hukuman penjara 15 tahun dan denda jika didapati bersalah.
Lim merupakan bekas timbalan pengarah jabatan dan penasihat kementerian kewangan Sabah, menurut laporan media.
Kedua-dua tertuduh didakwa menganugerahkan projek persekutuan kepada 38 syarikat proksi.
SPRM menahan 24 individu yang mempunayi kaitan dengan siasatan itu pada Oktober lepas. RM190 juta dirampas.
Menurut SPRM dipercayai sebanyak RM3.3 bilion dikeluarkan daripada jabatan itu. – 2 Ogos, 2017.
Komen