KETIKA kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) mengumpulkan maklum balas orang ramai terhadap belanjawan negara pertama, yang dijangka dibentangkan pada November, kebanyakan responden menuntut pembaharuan dalam sektor awam.
Sebahagian besar respons yang dikemukakan setakat ini pada laman sesawang rasmi Bajet 2019 sejak 10 hari lalu adalah di bawah kategori “reformasi sektor awam”. Sebahagian daripada respons ini juga menyentuh mengenai kos sara hidup.
Satu komen di bawah pembaharuan sektor awam diposkan berulang kali oleh beberapa responden. Ia bertulis:
“Memohon dan merayu kepada kerajaan baru agar Elaun Rumah dan Elaun Sara Hidup (C.O.L.A) penjawat awam TIDAK dipotong untuk masuk tinggal di kuarters kerajaan.”
Semua responden menggunakan nama pertama mereka, seperti Rohana, Ahmad, Amin, Razak, Haikal, Siti Haliza dan lain-lain.
Gaji, faedah dan kenaikan pangkat
Seorang responden, Rizal meminta kenaikan gaji tahunan sebanyak 40% bagi penjawat awam kerana peningkatan harga dan kos sara hidup di bandar dan luar bandar.
M. Kadir Ali memberitahu kerajaan agar tidak melemahkan semangat penjawat awam yang turut menyumbang kepada kemenangan PH pada pilihan raya 9 Mei lalu.
“Jangan menafikan hak kami terhadap kemudahan yang disediakan untuk penjawat awam,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Norzaime mencadangkan kerajaan menurunkan kadar faedah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dari 4% kepada 2% untuk semua pemohon bagi memberi motivasi kepada kakitangan awam serta sebagai tanda penghargaan terhadap perkhidmatan mereka.
“Kerajaan Johor juga menawarkan 0%,” kata responden memberi contoh.
Norzaime juga meminta kerajaan menambah tempoh cuti bergaji bersalin untuk penjawat awam wanita dari 360 hari kepada 450 hari, dan mengurangkan kos dengan mengurangkan bilangan pemandu.
“Di sektor swasta, eksekutif hingga naib presiden memandu kereta syarikat sendiri. Mereka tidak menggaji pemandu. Kerajaan harus mengaplikasikannya dalam sektor awam untuk mengurangkan kos. “
Satu lagi responden yang hanya dikenali sebagai Wan juga menyenaraikan cadangan kepada Putrajaya mengenai kenaikan pangkai dan gaji dalam sektor awam.

Wan mahukan Putrajaya membayar kakitangan kerajaan dengan kelayakan jurusan sains, teknologi dan kejuruteraan gaji lebih baik berbanding aliran seni; dan membayar gaji penuh kepada kakitangan sokongan kerajaan yang melanjutkan pengajian sarjana atau kedoktoran.
Wan juga berkata perlu ada kenaikan pangkat secara automatik bagi kakitangan sokongan yang memperoleh kepujian kelas pertama dalam ijazah pertama mereka, kerana mereka yang cemerlang dalam bidang akademik boleh menyumbang kepada idea dan kepakaran untuk organisasi dan pembangunan negara.
“Lihatlah negara maju yang berkembang pesat walaupun dengan populasi kecil seperti Australia. Mempunyai tenaga kerja berpendidikan tinggi adalah faktornya.
“Sudah tiba masanya bagi kerajaan mengiktiraf kakitangan peringkat rendah dengan kepujian kelas pertama. Buat masa sekarang, pendapat kakitangan ini tidak didengari pihak lebih tinggi hanya kerana kedudukan rendah mereka.
“Ia adalah satu kerugian kepada perkhidmatan awam apabila mereka ini bersedia untuk berkhidmat tetapi tidak dapat memainkan peranan mereka secara profesional.”
Wan juga berkata mengiktiraf bakat yang ada di dalam perkhidmatan awam, yang jumlahnya tidak ramai, tidak akan membebankan kerajaan secara kewangan.
“Saya harap kerajaan mempertimbangkan perkara ini. Ia juga sejajar dengan Revolusi Perindustrian 4.0, dan usaha untuk mencegah bakat keluar. Mereka ini adalah orang yang bijak jadi jangan nafikan sumbangan mereka kepada negara.”
Nadyr berkata penjawat awam perlu diberikan pilihan memilih antara skim pencen atau membuat sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Lebih banyak bantuan
Sementara itu, dalam kategori lain, banyak responden meminta kerajaan lebih banyak bantuan kebajikan bagi golongan istimewa seperti orang tua dan kurang upaya.
“Lebih banyak insentif atau geran bagi yuran perubatan dan/atau insurans untuk warga tua bagi membantu menampung rancangan persaraan mereka serta mengurangkan beban selepas bersara,” tulis Melissa P.
Di bawah kategori kebajikan dan kesejahteraan rakyat, Gooi dan Khairol Asuan Md Khalid meminta kerajaan menaikkan subsidi bulanan kepada OKU dan elaun makanan bagi pelajar kurang upaya.

“Jumlah RM150 sebulan kekal sekurang-kurangnya tujuh tahun sejak hari pertama anak saya berada dalam darjah satu. Ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan kanak-kanak, terutama OKU yang memerlukan perhatian dan ubat.
“Pada Januari setiap tahun, yuran sekolah juga lebih daripada RM150. Orang OKU juga memerlukan perhatian yang saksama daripada kerajaan walaupun mereka tidak mempunyai kuasa mengundi,” kata Gooi.
Khairol berkata, isi rumah yang mempunyai OKU atau mereka yang menderita penyakit kronik perlu diberi bantuan bulanan.
“Kerajaan boleh berfikir tentang kerjasama dengan syarikat insurans untuk memberikan bantuan ini,” katanya.
Zuraidah Mohamed pula mahu kerajaan memberi bantuan persekolahan kepada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 kerana banyak isi rumah seperti ini mempunyai beberapa orang anak yang bersekolah dan dianggap miskin bandar.
Beliau juga mahu kerajaan menghapuskan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan mengekalkan program susu.
Hana, bagaimanapun, berpendapat kerajaan perlu berhenti memberikan bantuan tunai kepada rakyat, yang hanya membebankan kewangan pentadbiran dan menyebabkan rakyat menjadi tidak kompetitif.
“Jangan hanya bergantung kepada kerajaan. Lebih baik beri pancing, bukannya ikan.”
Tan berkata kerajaan sepatutnya menghentikan subsidi penjagaan kesihatan kepada pesakit yang masih merokok, minum dan tidak membuat perubahan gaya hidup walaupun menderita sakit.
Tempoh maklum balas Bajet 2019 berjalan sehingga 30 September. – 11 September, 2018.
Komen