Dr Mahathir cuba melaga-lagakan pemimpin Umno, kata Bung Moktar


Melati A. Jalil

Menurut Bung Moktar, tuduhan terbaharu terhadap Zahid adalah strategi politik Dr Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2017.

TUDUHAN terbaharu Dr Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hanyalah bertujuan untuk melaga-lagakan pemimpin Umno, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Bung Moktar Radin.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, dia percaya semua tuduhan yang dilemparkan hanyalah permainan politik bekas perdana menteri itu.

“Saya tak nampak yang timbalan perdana menteri sedang merancang (apa-apa) untuk menjatuhkan perdana menteri.

“Apa yang saya tahu, ini propaganda untuk melaga-lagakan pemimpin Umno,” katanya kepada pemberita d Parlimen hari ini.

Katanya, pembangkang termasuk Dr Mahathir juga menggunakan isu-isu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan GST, sedangkan rakyat sudah maklum semua tuduhan itu tidak benar.

“Saya 100% yakin ia cuma strategi politik Dr Mahathir,” tambah Bung.

Semalam, Dr Mahathir mengingatkan Zahid tentang aset bernilai RM230 juta yang dimilikinya semasa menjawat jawatan sebagai ketua Pemuda Umno.

Kata Dr Mahathir, Zahid juga meminta sokongan daripadanya semasa Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri, menggantikan Muhyiddin Yassin.

Ahad lalu, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri membuat serangan ke atas Dr Mahathir dengan mengungkit keturunan Indianya, sambil menunjukkan kad pengenalan lama Dr Mahathir pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kelana Jaya.

Pada kad pengenalan lama Dr Mahathir itu terpapar nama “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

Tindakan Zahid itu menimbulkan kemarahan termasuk daripada Penasihat DAP Lim Kit Siang, yang sebelum ini merupakan seteru lama Dr Mahathir. Beberapa laporan polis juga dibuat terhadap Zahid. – 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen