SEORANG doktor yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas pegawai perubatan di sebuah hospital di Lembah Klang bakal digantung tugas selepas siasatan bebas mendapati ada alasan untuk tindakan selanjutnya terhadap lelaki itu.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata doktor lelaki itu akan digantung bagi membolehkan siasatan selanjutnya oleh pihak berkuasa.
Katanya, kementerian juga akan membuat laporan kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk menyiasat doktor pakar itu atas dakwaan salah laku profesional.
“Dapatan siasatan menunjukkan ada alasan yang cukup untuk kementerian meneruskan tindakan lanjut terhadap pegawai berkenaan,” kata Dr Dzulkefly dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata tindakan penggantungan doktor yang juga seorang ketua jabatan itu akan dibuat selaras dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Mengenai desas desus pertukaran doktor dan doktor pakar, Dr Dzulkefly meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi daripada kementerian.
Doktor yang disiasat itu sebelum ini diarah berpindah bertugas di Kementerian Kesihatan, melalui sepucuk surat bertarikh 30 Ogos.
Surat arahan pindah itu bagaimanapun dibatalkan berkuat kuasa 3 September lepas dan doktor itu kekal di hospital tempat beliau bertugas semasa gangguan seksual yang didakwa.
“Surat itu dibatalkan maksudnya pihak kementerian hendak menunggu keputusan inkuiri. Jadi penempatan itu masih kekal tetapi dia tidak bekerja sehingga keputusan inkuiri barulah tahu tindakan apa akan dikenakan.
“Dia kekal sementara sebab belum ada keputusan lagi,” kata sumber kanan Kementerian Kesihatan ketika dihubungi The Malaysian Insight, yang enggan dinamakan.
The Malaysian Insight difahamkan tertuduh boleh dikenakan tindakan buang kerja mengikut tindakan tatatertib kementerian, atau ditarik lesen perkhidmatan sekiranya tindakan diambil oleh Majlis Perubatan Malaysia, selain tindakan jenayah sekiranya ada laporan polis.
Akhir Julai lepas, The Star mendedahkan beberapa aduan pegawai perubatan wanita di bawah jagaan individu tersebut yang mendakwa diserang dan diganggu secara seksual.
Dr Dzulkefly sebelum ini menubuhkan panel siasat dan turut melibatkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – 10 September, 2018.
Komen