KERAJAAN Selangor perlu memastikan semua peraturan keselamatan dipatuhi sebelum apa sahaja kerja pembangunan baharu sama ada untuk taman atau bangunan boleh dimulakan di tapak Highland Towers yang meragut 48 nyawa 15 tahun lalu, kata penduduk kawasan itu.
Susulan hujan lebat dan tanah runtuh, satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers runtuh pada 11 Disember 1993 membunuh 48 orang.
Sejak itu, kawasan itu terbiar, sehinggalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang baharu dilantik, Zuraida Kamaruddin mengumumkan baru-baru ini yang kerajaan sedang meneliti rancangan untuk mengubah kawasan itu kepada taman awam.
Cadangan itu walaupun dialu-alukan berbanding membiarkan kawasan itu terus terbiar hanya boleh dilaksanakan selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh di kawasan itu dijalankan, kata Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Sri Ukay Shila Kasim.
“Bangunan selebihnya memang menyakitkan mata sejak bertahun lamanya dan ia perlu diuruskan.
“(Tetapi) ada kawasan kediaman sekitar tapak itu jadi kerajaan perlu mengambil kira semua faktor keselamatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Shila berkata penduduk akan memohon satu pertemuan diatur dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan butiran terperinci rancangan itu, menambah yang mereka akan meneliti semua cadangan melibatkan kerja-kerja pembangunan di kawasan itu.
“Kami harap dapat lupakan kisah sedih ini,” katanya.

Pemeriksaan keselamatan sudah disiapkan
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor Haniza Mohd Talha berkata pemeriksaan keselamatan menunjukkan kawasan itu tidak selamat untuk pembangunan bangunan tinggi, dan kerana itu cadangan mewujudkan sebuah taman diutarakan.
“Mempunyai sebuah taman akan mengurangkan risiko tanah runtuh atau apa sahaja kejadian daripada berlaku,” katanya.
Haniza juga berkata pembinaan bangunan lain di tapak sama hanya akan mengembalikan kenangan perit tragedi itu.
“Jika pembangunan perumahan dilakukan ia hanya akan mewujudkan ketakutan kepada penduduk di sana.
“Kami tak mahu ingatkan mereka tentang tragedi itu.
“Lebih baik bangunkan kawasan itu yang merupakan kawasan tanah utama berbanding tak buat apa-apa,” katanya.

Haniza berkata semua pemeriksaan keselamatan sudah disiapkan, hasilnya menyebabkan pakar mencadangkan sebuah taman di wujudkan di kawasan tersebut.
“Kerana itu kami mahu mengubahnya menjadi taman berbanding pembangunan lain di sana,” katanya, menambah yang kerja pembinaan taman boleh bermula awal tahun depan.
Peguam dan pakar kerajaan tempatan Derek Fernandez mengalu-alukan cadangan kerajaan membina taman di situ.
“Adalah bagus sekiranya taman dibina di situ kerana ia boleh didedikasikan kepada rakyat Malaysia (mangsa) yang terkorban dalam tragedi itu.
“Plak dengan nama mereka yang terkorban boleh diletakkan supaya kita tak lupa kesan buruk yang berlaku kerana kecuaian manusia,” katanya. – 10 September, 2018.
Komen