16 suspek jadi tali barut negara di Sabah dikenal pasti, kata menteri


Diyana Ibrahim

SERAMAI 16 suspek dikenal pasti menyamar dan menyalurkan maklumat kepada penjenayah antarabangsa untuk mengancam keselamatan Sabah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim hari ini.

“Kita sudah edar dan sebar gambar semua tali barut ini bagi mengesan sekaligus menangkap mereka,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Sepanggar Jumat Idris.

Bagaimanapun, Shahidan tidak menjelaskan kesemua 16 suspek yang dikenal pasti itu merupakan rakyat tempatan sebaliknya hanya menyifatkan suspek tersebut ‘tali barut’ negara.

Beliau juga berkata keadaan Sabah kini terkawal dan selamat kerana sejak Disember lalu, tiada lagi jenayah penculikan yang berlaku di kepulauan itu termasuk di perairan antarabangsa Malaysia-Filipina.

“Ingin saya tegaskan, perairan Malaysia-Filipina agak tenang dan terkawal. Jenayah penculikan tidak lagi berlaku khususnya dari kumpulan militan antarabangsa Abu Sayyaf.” – 2 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen