DUA anak tiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan ditahan reman selama tujuh hari berhubung kematiannya.
Remaja lelaki berusia 16 dan 14 tahun itu ditahan pada jam 4 petang di rumah datuk mereka di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur.
Sumber polis memaklumkan kepada The Malaysian Insight yang Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bersetuju membenarkan polis menahan dua remaja lelaki itu selama seminggu.
“Kedua-duanya direman selama seminggu,” kata sumber itu ringkas.
Memakai baju tahanan berwarna ungu, remaja lelaki itu tiba kira-kira jam 11.30 pagi disertai ahli keluarga yang menutup mukanya dan dikawal oleh pegawai polis berpakaian biasa.
Seorang peguam yang mewakili remaja itu enggan bercakap ketika dihampiri dan wartawan tidak dibenarkan memasuki bilik mahkamah semasa prosiding.
Sementara itu, Samirah Muzaffar- ibu kepada dua remaja lelaki itu- akan mengetahui jika tahanan remannya dilanjutkan esok.
Ketua CID Selangor Fadzil Ahmat berkata polis akan menentukan esok sama ada mereka akan memohon lanjutan tahanan remannya.
“Ia akan berdasarkan siasatan kami. Jika perlu kami akan minta pelanjutan,” katanya.
Beliau berada dalam tahanan polis selama seminggu selepas ditahan bersama bekas suaminya.
Bekas suaminya dibebaskan pada Jumaat lepas.
Rabu lepas, dua pelajar sekolah menengah ini ditahan polis dan dibebaskan selepas beberapa jam disoal siasat.
Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor dan Fadzil bagaimanapun enggan mengesahkan jika remaja itu dibawa ke balai untuk disoal siasat.

Mereka menegaskan sehingga kini, hanya dua suspek - balu Nazrin dan bekas suaminya - ditahan untuk membantu siasatan pembunuhan.
“Saya tidak mengatakan apa-apa tetapi hanya dua yang ditahan setakat ini,” katanya tanpa mengesahkan atau menafikan pertanyaan mengenai dua lelaki remaja itu malam tadi.
Dilaporkan Nazrin mengalami kecederaan pada leher, dipercayai disebabkan oleh anak panah.
Turut difahamkan kedua-dua anak tirinya itu aktif dengan aktiviti memanah.
Nazrin ditemui mati selepas bilik tidurnya di rumah teres dua tingkat di Mutiara Damansara terbakar pada 14 Jun, sehari sebelum Aidilfitri.
Keluarga Nazrin berkata kebakaran berpunca daripada letupan telefon bimbitnya.
Cradle Fund juga mengeluarkan kenyataan yang mengatakan Nazrin meninggal dunia akibat kecederaan disebabkan telefon bimbit yang dicas di sebelahnya.
Bagaimanapun, bulan lalu, polis Selangor mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan selepas penyiasat menemui kesan petrol di bilik Nazrin. – 9 September, 2018.
Komen