Tiada 'hadiah wang' dalam Bajet 2019 ekoran bebanan hutang, kata menteri


Looi Sue-Chern

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengulas pertanyaan mengenai kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tentang Bajet 2019 sebagai bajet yang menuntut pengorbangan semua orang. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 9 September, 2018.

 PUTRAJAYA tidak mempunyai dana untuk diberikan kepada rakyat menerusi Bajet 2019 ekoran skandal kewangan 1MDB dan hutang negara yang mencecah RM1 trilion, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Banyak wang sudah hilang dan kita mempunyai bebanan hutang yang besar. Kita tidak mempunyai wang untuk diberikan kepada rakyat sebagai ‘hadiah wang’,” katanya pada satu sidang media selepas sesi penerangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Pulau Pinang hari ini.

Lim mengulas pertanyaan mengenai kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tentang Bajet 2019 sebagai bajet yang menuntut pengorbangan semua orang.

Dr Mahathir berkata demikian ketika sesi wawancara bersama Malaysiakini dan Sinar Harian baru-baru ini.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata kepada The Malaysian Insight bahawa bajet yang akan dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) buat kali pertama ini, akan melibatkan banyak langkah penjimatan.

Lim berkata amat penting buat rakyat untuk melakukan pengorbanan.

“Kita berdepan realiti bahawa kerajaan persekutuan perlu berdepan dengan masalah hutang RM1 trilion. Jika tidak Malaysia akan berdepan dengan krisis kewangan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menuntut pengorbangan semua orang bagi memulihkan keadaan kewangan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2018.

“Kita tidak mahu perkara itu berlaku. Kita mahu mengurangkan hutang. Kita perlu mengurangkan atau membatalkan sesetengah projek pembangunan,” katanya.

Lim berkata kerajaan mempunyai dana kewangan yang terhad untuk dibelanjakan dan perlu memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah kewangan negara.

“Kita tidak mempunyai wang lebih untuk dibelanjakan, selepas kita menggantikan GST (cukai barang dan perkhidmatan) dengan SST, mengawal harga minyak daripada naik dan mengekalkan BR1M yang kini dikenali sebagai Bantuan Sarah Hidup (BSH).

“Untuk perkara lain, kira mempunyai kewangan yang terhad. Saya fikir itu yang Tun (Dr Mahathir) maksudkan… kita perlu kurang berbelanja dan tidak berharap kerajaan memberikan wang percuma.

“Apabila kewangan kita kembali pulih, kita akan mempunyai program untuk rakyat. Semua orang perlu berkorban.”

Lim turut bergurau bahawa individu yang perlu berkorban lebih banyak adalah bekas perdana menteri Najib Razak dan ahli perniagaan Low Taek Jho, kedua-duanya dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Skandal 1MDB dikatakan antara punca masalah kewangan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2018.

Katanya, negara terpaksa membayar hutang 1MDB sebanyak RM50 bilion.

“Mereka perlu lebih banyak berkorban kerana mereka membuatkan kita semua sebagai ‘korban’.”

Ditanya sama ada kerajaan merancang untuk menaikkan cukai korporat yang kini sebanyak 24%, dalam Bajet 2019, Lim berkata kepada media supaya menunggu bajet yang akan dibentangkan pada 2 November ini.

“Pada pendapat saya, kita tidak perlu berbuat demikian kerana negara-negara jiran telah mengurangkan cukai itu. Jika dinaikkan, kita akan jadi kurang persaingan. Amerika Syarikat sendiri mengurangkan cukai itu daripada 35% kepada 12%.

“Jika kita mampu, maka boleh dilakukan. Jika tidak, kita perlu menilai cadangan lain,” katanya sambil menambah negara memerlukan pendapatan. – 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen