SYARIKAT Malaysia di luar kawasan zon perdagangan bebas yang melaksanakan perkhidmatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) akan dipertimbangkan untuk mendapat pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pengecualian itu akan menjadi cara untuk menyokong industeri tersebut bagi memacu negara ke arah Revolusi Industri 4.0.
“Terdapat syarikat yang beroperasi di luar zon dagangan bebas yang menjalankan R&D terhadap cip, teknologi nan, papan induk dan lain-lain.
“Kita mahu menggalakkan aktiviti ini dalam kalangan syarikat Malaysia,” katanya pada sesi penerangan tentang SST kepada wakil pelbagai industri dan perniagaan di sebuah hotel di Pulau Pinang pagi ini.
Terdahulu, Lim berkata kerajaan memutuskan untuk mengecualikan SST terhadap bayaran sewa yang dikutip pengusaha restoran yang menyewakan tapak kepada penjaja daripada penjaja makanan yang menyewa di ruangan kedai mereka.
“Pengusaha restoran tidak perlu memasukkan hasil sewa yang dikumpul sebagai sumber pendapatan. Kita hanya akan mengenakan cukai ke atas jualan makanan dan minuman sahaja,” katanya sambil menambah pengecualian itu akan digazetkan tidak lama lagi.
Hanya restoran yang meraih pendapatan RM1.5 juta ke atas akan dikenakan cukai SST.

Lim berkata penjualan barangan lain di restoran seperti rokok dan tisu juga tidak akan dikenakan cukai tersebut.
“Ini merupakan ruang yang diberikan kepada perniagaan supaya bebanan cukai dapat dikurangkan,” katanya.
Sesi penerangan di Pulau Pinang hari ini merupakan yang ke-13 diadakan di seluruh negara, dan yang ketiga untuk negeri itu.
Lim berkata beliau sendiri sudah bersemuka dengan 11,000 orang di seluruh negara dalam pertemuan sedemikian.
“Saya fikir penjelasan yang diberikan adalah jelas. Jika terdapat sebarang kesilapan, kita akan betulkan. Kita juga akan terus memperbaiki sistem tersebut,” katanya.
Sebelum itu, Lim dalam ucapannya berkata kerajaan baharu tidak mahu menghukum pengelak cukai walaupun terdapat peruntukan di bawah undang-undang yang mengenakan hukuman terhadap mereka yang enggan membayar SST.
“Saya menerima beberapa bantahan dari pihak dalaman berhubung perkara (kelonggaran) ini.
“Pegawai berkata kita tidak boleh berbuat demikian kerana ada pihak akan mengambil kesempatan… tetapi saya berkata elok kita cuba dulu dalam pentadbiran baharu ini.
“Kita perlu percaya kepada semua orang yang mahu membayar cukai dan mematuhi undang-undang. Kita perlu saling bermaafan dan percaya antara satu sama lain.
“Jangan risau jika anda (pembayar cukai) membuat kesilapan. Tetapi jangan ambil kesempatan atas keterbukaan dan kebaikan pihak berkuasa untuk memperoleh sesuatu yang anda tidak boleh miliki,” katanya.
SST berkuatkuasa di seluruh negara pada 1 September lalu, menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang kurang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. – 9 September, 2018.
Komen