Guan Eng mahu pemaju turunkan harga rumah


Looi Sue-Chern

Menteri Kewangan Lim Guang Eng berkata pengecualian SST bagi perkhidmatan pembinaan sebanyak 10% sepatutnya menjadikan kos lebih rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2018.

PEMAJU diminta mengkaji semula harga hartanah selepas Putrajaya mengecualikan perkhidmatan pembinaan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Pembina dan pemaju memuji tindakan itu yang tidak seperti masa lalu, perkhidmatan pembinaan dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Kumpulan seperti Rehda (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan) semuanya berkata ‘bagus, bagus’ tetapi harga harta tidak akan turun.

“Saya tidak bersetuju (dengan mereka). Saya mungkin perlu mempertimbangkan semula,” katanya pada taklimat SST di Hotel Eastin Pulau Pinang yang dihadiri oleh wakil daripada pelbagai industri dan perniagaan.

Lim berkata malah pengilang kereta turut menurunkan harga mereka, termasuk BMW terhadap beberapa modelnya.

“Saya harap pemaju perumahan akan mengambil perhatian hal ini,” katanya.

SST dikuatkuasakan pada 1 September, menggantikan GST yang diperkenalkan pada 2015 oleh kerajaan sebelumnya.

Bulan lalu, Lim berkata harga rumah dan pembinaan bangunan baru akan lebih murah selepas pemansuhan GST, dan pengecualian SST.

“Kerajaan persekutuan berharap kos pembinaan dapat dikurangkan dengan pengecualian SST. Beberapa bahan binaan yang tidak akan dikenakan SST ialah simen, pasir, dan besi. “

Pengerusi Rehda, Jerry Chan dipetik berkata semalam dalam satu laporan yang pengecualian SST tidak akan membawa kepada pengurangan harga rumah.

Menteri Kewangan Lim Guang Eng menghadiri majlis dialog bersama orang ramai berhubung SST di George Town, Pulau Pinang hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 9 September, 2018.

Walaupun dengan bahan dan kos pembinaan lebih murah, pemaju masih perlu menanggung kos lain.

Chan berkata pemaju mesti mempertimbangkan pekerja, keadaan pasaran hartanah, kos tanah, kos pematuhan dan lain-lain.

“Bahan bangunan hanya sebahagian daripada kos. Itu saja tidak dapat memastikan harga akan turun dengan ketara,” katanya.

Lim berkata hari ini senarai SST akan kekal organik dengan pindaan yang dibuat berdasarkan maklum balas untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Jabatan Kastam dan menteri kewangan, yang mempunyai kuasa menetapkan kadar cukai, perlu mendengar anda.

“Bekas menteri kewangan tidak membuat taklimat dengan rakyat untuk mendengar maklum balas.

“Tetapi pentadbiran baru ini berbeza,” katanya, memetik bagaimana harga SST bagi beberapa barangan dan perkhidmatan dikurangkan selepas maklum balas daripada perniagaan.

Dengan kadar cukai yang dikurangkan atau pengecualian yang diberikan, seharusnya “tiada alasan untuk menaikkan harga”, kata Lim. – 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen