DUA anak tiri Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan ditangkap malam tadi berhubung kematiannya akan direman hari ini.
Memetik sumber polis, kedua-duanya ditangkap kira-kira pukul 4 petang pada Sabtu.
Nazrin ditemui mati selepas bilik tidurnya di rumah teres dua tingkat di Mutiara Damansara terbakar pada 14 Jun, sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Keluarga Nazrin berkata kebakaran itu disebabkan letupan telefon bimbitnya.
Cradle Fund juga mengeluarkan kenyataan yang mengatakan ketuanya itu meninggal dunia akibat kecederaan disebabkan letupan telefon bimbit yang dicas bersebelahannya.
Bagaimanapun, bulan lalu, polis Selangor mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan selepas penyiasat menemui kesan petrol di bilik Nazrin.
Khamis lalu, sumber polis berkata mereka menyoal kedua-duanya selepas menemui kesan kecederaan yang dipercayai disebabkan anak panah pada leher Nazrin.
Difahamkan dua anak tirinya itu terlibat dalam aktiviti memanah.
“Kedua-duanya masih bersekolah menengah dan ditahan di rumah datuk mereka pada pukul 9.30 malam. Siasatan kami mendapati terdapat tusukan lubang di leher (mangsa) yang disebabkan oleh anak panah,” kata sumber itu.
Ibu mereka ditangkap dua hari lalu bersama bekas suaminya. Polis memperoleh perintah reman selama tujuh hari bagi mereka berkaitan dengan kes pembunuhan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat sebelum itu memberitahu The Malaysian Insight lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Sepang, Selangor, diikuti seorang wanita di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur sejam kemudian.
“Lelaki yang ditahan itu adalah bekas suami wanita yang kami ditahan. Beliau juga balu si mati (Nazrin),” kata Fadzil.
Nazrin memperolehi Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) dari Universiti Buckingham di United Kingdom pada 1994. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa eksekutif Majlis Eksekutif United Kingdom bagi Pelajar Malaysia (UKEC).
Isterinya yang berusia 43 tahun itu adalah eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia. – 9 September, 2018.
Komen