Cubaan ‘kelahiran semula’ MCA di Balakong gagal


Gan Pei Ling

Calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki menerima 22,508 undi berbanding calon MCA, Tan Chee Teong yang memperoleh 3,975 undi, menjadikan majoriti besar 18,533 undi pada PKR DUN Balakong semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 September, 2018.

CUBAAN MCA untuk menghidupkan kembali parti dengan menerima sokongan parti Islam PAS dan bertanding menggunakan logo sendiri di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balakong, Selangor gagal susulan pengundi terus menolak parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, kata penganalisis politik.

MCA hanya dapat menaikkan sedikit jumlah undi diterimanya di kerusi majoriti Cina itu daripada 11% pada PRU14 kepada 15% semalam.

Calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki menerima 22,508 undi berbanding calon MCA, Tan Chee Teong yang memperoleh 3,975 undi, menjadikan majoriti besar 18,533 undi pada PKR itu.

Daripada 62,219 pengundi di Balakong, 61% Cina, 30% Melayu dan India 9%.

PH yang turut bertanding menggunakan logonya buat pertama kali menang 72% kepada 92% daripada undi di daerah mengundi termasuk kawasan majoriti Melayu seperti Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Jaya dan Desa Baiduri.

“Keputusan menunjukkan ramalan awal kami bahawa MCA tidak akan dapat memenangi semula sokongan pengundi Cina atau memikat undi Melayu jika ia bertanding dengan logo parti sendiri,” kata Timbalan Dekan Fakulti Kemanusiaan dan Sosial Sains Dr Phoon Wing Keong.

Beliau berkata 15% undi diterima MCA kali ini jatuh daripada 22.5% yang diperoleh BN dan PAS pada PRU14, 9 Mei lalu.

PH memperoleh 41,768 sementara PAS 6,230 undi dan MCA 5,874 pada PRU14, empat bulan lalu.

“MCA tidak dapat membuktikan bahawa ia boleh memutuskan hubungan dengan Umno dan sehingga bekerjasama dengan PAS untuk mendapatkan undi Melayu pada PRK ini. Ia hilang prinsip moral asasnya. Itu lebih teruk daripada kalah PRK ini,” katanya.

Calon MCA, Tan Chee Teong di PRK Balakong memperoleh 3,975 undi, dan parti itu hanya dapat menaikkan sedikit jumlah undi diterimanya di kerusi majoriti Cina itu daripada 11% pada PRU14 kepada 15% semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2018.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkempen untuk MCA pada satu program ceramah ketika kempen, satu perkembangan yang turut mengejutkan bekas pengerusi MCA Negeri Sembilan Lim Chin Fui.

Secara kontrasnya, pencapaian PAS di PRK Seri Setia semalam lebih baik berbanding MCA dengan meningkatkan jumlah undinya daripada 10% kepada 42% - lebih tinggi berbanding gabungan BN dan PAS iaitu 31% pada PRU14, kata Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute.

“Ini tidak mengejutkan kerana PAS dan Umno secara ideologinya lebih rapat. PAS dan MCA menentang satu sama lain tentang isu Islamic State dan hukuman hudud sejak berdekad lamanya.

“Kerjasama antara MCA dan PAS dilihat sebagai lebih kepada kahwin kontrak berbanding penyatuan sebelum ini antara DAP dan PAS.

“Bekerja dengan PAS akan hanya mempercepatkan terkuburnya MCA. Bekerja dengan Umno toksiknya serupa, tetapi bukan saja kerana Umno jenama yang sudah rosak, tetapi juga kerana Umno bekerjasama rapat dengan PAS,” kata Wong.

Beliau berkata jika MCA mahu bertahan dalam landskap politik baharu, parti itu perlu bertindak sendirian dan peluang realistiknya kelahiran semula itu ialah bertanding dalam pilihan raya tempatan pada masa depan. – 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen