PENYERAGAMAN gaji minimum antara semenanjung dan Sabah dan Sarawak kepada RM1,050 bermula 1 Januari, 2019 memberi kelegaan kepada pekerja Sabah, tetapi ramai berharap perkara sama boleh dilakukan terhadap kos barangan di negeri itu.
Pekerja kedai kopi, Ainah Adul, 40, berkata walaupun kenaikan gaji minimum memberinya tambahan RM130 sebulan, ia masih tidak mencukupi kerana perbelanjaan barangan runcit di rumahnya sebanyak RM320.
Baki gajinya untuk keperluan sekolah dua anaknya termasuk pengangkutan (RM300) dan bil utiliti (RM200), kata ibu tunggal itu.
“Keadaan bertambah susah jika kami sakit, atau ketika anak-anak menyambut hari jadi mereka. Jadi saya tidak boleh sakit,” katanya.
Pekerja separuh masa dan pekerja bebas di Sabah turut menyuarakan kebimbangan bahawa kenaikan itu tidak memberi kesan besar terhadap mereka.
Bagi pekerja separuh masa, ramai bimbang majikan akan memotong jam bekerja mereka sementara pekerja bebas menjangkakan semakin sedikit peluang kerja akan diberikan kerana kebanyakan syarikat bakal mengurangkan bajet mereka.
Timothy Dingon, 21, yang bekerja separuh masa di sebuah restoran di Kota Kinabalu berkata, rakan sekerja memberitahunya perkara sama berlaku ketika kenaikan gaji minimum pada 1 Julai, 2016.
“Ia tidak terlalu menjejaskan saya kerana saya masih boleh jadi pemandu Grab. Tetapi sudah tentu kerja separuh masa lebih baik daripada membazirkan minyak dan menghabiskan kebanyakan wang daripada hasil Grab untuk menyelenggara kereta,” kata pelajar tahun akhir sebuah kolej swasta itu.
Putrajaya awal minggu ini mengumumkan kenaikan gaji minimum di Sabah dan Sarawak daripada RM920 kepada RM1,050, jumlah yang sama dengan gaji di semenanjung.
Industri menyalahkan kos logistik iaitu termasuk caj perkapalan dua kali ganda dan infrastruktur yang tidak dibangunkan sebagai alasan kos barangan dan bahan mentah lebih tinggi di negeri itu.
Kesannya ialah kebanyakan kos itu dipindahkan kepada pengguna.
Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi India Muslim Sabah Abdul Kadir Sikkandar berkata kenaikan RM130 tidak terlalu banyak dan tidak begitu menjejaskan perniagaan.
“Pekerja juga diberikan kerja lebih masa kerana mereka kerja lebih 12 jam sehari. Kenaikannya tidak terlalu banyak,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, Persatuan Majikan Sabah berkata gaji minimum baru itu tidak setinggi yang dijangkakan tetapi Putrajaya sepatutnya mendapatkan pandangan mereka terlebih dulu sebelum mengumumkan kenaikan itu.
Presidennya, Yap Cheen Boon berkata mereka sepatutnya turut serta dalam membincangkan tentang gaji minimum. – 9 September, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen