Ekonomi boleh serap kesan kenaikan gaji minimum, kata pakar ekonomi


Bede Hong

Perniagaan di Malaysia dijangka terus berkembang walaupun berlaku kenaikan gaji minimum ditetapkan pada kadar RM1,050. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2018.

PERNIAGAAN Malaysia akan tetap makmur walaupun berlaku kenaikan gaji minimum kerana ekonomi pada masa ini dipacu pada kapasiti penuh dan permintaan terhadap buruh akan turut berkembang bersama perkembangan industri, kata pakar ekonomi.

Penganalisis kanan di Centre for Public Policy Studies Jarren Tam berkata kesan daripada gaji minimum RM1,050 terhadap perniagaan dalam jangka pendek, hanya kecil.

“Ekonomi kini hampir pada kapasiti penuh dan industri akan terus berkembang, maka akan sentiasa ada permintaan untuk buruh dan ia akan dapat dipenuhi menerusi kuasa bekalan dan permintaan pasaran,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Satu-satunya pemboleh ubah ialah pekerja asing, di mana ia faktor luaran yang tidak terpengaruh dengan gaji minimum, tetapi dasar negara kita terhadap imigran.”

Tam berkata kerajaan sepatutnya melaksanakan satu jadual, seperti pelan berperingkat lima tahun dan meminimumkan jumlah berapa kali gaji minimum dinaikkan kerana ia akan menyebabkan kejutan inflasi terhadap ekonomi setiap kali ia dilaksanakan.

Katanya, kumpulan perniagaan yang berkepentingan juga akan bersedia untuk berdepan gaji minimum lebih tinggi, kerana ekonomi menunjukkan trend yang sihat dalam tempoh beberapa tahun lalu dan keuntungan dijangka stabil.

Putrajaya dijangka menetapkan gaji minimum RM1,500 seperti dijanjikan dalam pelan berperingkat dengan amaun setiap kenaikan bergantung pada pertumbuhan.

Bagaimanapun, pakar ekonomi menyifatkan kenaikan gaji RM50 tahun depan sebagai jumlah token dengan kesan kecil terhadap majikan.

Kenaikan RM50 itu dikecam hebat oleh beberapa wakil rakyat pro perubahan Pakatan Harapan (PH) seperti Charles Santiago daripada DAP dan Maria Chin Abdullah daripada PKR, sementara Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia yang mewakili setengah juta pekerja menganggap ia “pengkhianatan” janji kempen oleh kerajaan pemerintah.

Wakil rakyat pro perubahan mendakwa pertumbuhan produktiviti mengatasi pertumbuhan gaji sejak 1970-an, dengan data kerajaan terbaru menunjukkan pertumbuhan gaji 2.6% sementara pertumbuhan produktiviti buruh 6.7%.

Pada masa sama, pemain industri mendakwa negara berdepan ketidaktentuan ekonomi dan gaji baharu mungkin lebih memberi manfaat kepada pekerja warga asing dan bukan tempatan dengan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana mendakwa hanya 10,000 pekerja tempatan menerima faedah daripada kenaikan itu.

“Saya lebih berpihak kepada mereka yang berkata kenaikan gaji minimum itu terlalu sedikit,” kata Tam.

“Memandangkan kerajaan PH komited dalam manifesto mereka untuk menaikkan gaji minimum kepada RM 1,500, saya percaya dalam ketelusan dan struktur jika janji itu dipenuhi.”

Malaysia mula melaksanakan gaji minimum pada Januari 2013, dengan kadar pertama ditetapkan pada RM900 untuk semenanjung dan RM800 bagi Sabah dan Sarawak. Kadar itu disemak semula kepada RM1,000 dan RM920, pada Julai 2016.

Kadar kenaikan RM50 kepada RM1,050 itu akan distandardkan di seluruh negara pada 1 Januari, 2019.

“RM50 terlalu kecil untuk memberi kesan terhadap penerima gaji,” kata Berjoyai Bardai dari fakulti perniagaan Universiti Tun Razak.

“Ia jumlah token, hanya untuk menunjukkan ada perkembangan dalam memenuhi janji mereka. Ia hanya untuk memenuhi janji, tetapi ia tidak ada kesan terhadap kos sara hidup, yang memerlukan sekurang-kurangnya RM2,500 di pusat bandar.”

Berjayoi percaya hanya pekerja asing akan menerima manfaat daripada sebarang kenaikan gaji.

“Apa yang selama ini kita lihat ialah majikan yang ada kuasa pasaran, mereka akan hanya pindahkan beban itu kepada pengguna dan harga akan naik.

“Saya tidak fikir gaji minimum jawapannya. Mereka yang akan paling untung ialah pekerja asing tidak berkemahiran kerana syarikat Malaysia tidak akan mengambil pekerja tempatan kerana tiada yang hendak bekerja di sektor pembinaan dan jualan.

Kenaikan gaji minimum yang terlalu banyak akan menjejaskan ekonomi terutama perniagaan kecil dan sederhana dan akibatnya mereka akan menaikkan harga barang. – Gambar fail The Malaysian Insight 9 September, 2018.

Berjayoi mencadangkan “perubahan struktur” dengan meningkatkan kemahiran kerja dalam kalangan pekerja rakyat Malaysia berpendapatan rendah.

“Kita perlu memberi kemahiran baharu kepada pekerja sendiri supaya mereka akan mempunyai produktiviti lebih tinggi dan diberi kadar lebih tinggi.”

Pakar ekonomi dari Institut untuk Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi Adli Amirulla berkata sasaran RM1,500 itu “angka tepat”.

“Gaji minimum sepatutnya 40% daripada gaji median negara. Jika anda lihat jumlah itu sekarang, ia RM2,700.

“Sama ada kenaikan itu langkah yang betul, saya tidak ada jawapannya sekarang kerana kerajaan masih belum memberi laporan penuh atau analisis kos faedah kenaikan gaji minimum.

“Jika kita naikkan terlalu banyak, ia akan menjejaskan ekonomi. Yang paling terkesan ialah perniagaan kecil dan sederhana. Kesannya ialah mereka akan menaikkan harga barang.”

Fitch Ratings bulan lalu berkata pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia dijangka perlahan pada 5.2% tahun ini dan 4.8% tahun depan, memandangkan dasar perolehan yang lebih sempit. – 9 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen