Pakatan pertahan kerusi Seri Setia, menurut keputusan tak rasmi 


Chan Kok Leong

Calon Pakatan Harapan PRK Seri Setia Halimey Abu Bakar mendahului kiraan undi setakat ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 September, 2018

PAKATAN Harapan mengekalkan kerusi Seri Setia selepas mendapat 12,525 undi, menurut keputusan tidak rasmi.

Setakat jam 7.30 malam, Halimey Abu Bakar mendapat 58.7% undi manakala calon PAS Dr Halimah Ali mendapat 41.3%. Setakat ini, Halimey mendahului dengan 3,721 undi majoriti.

Kemenangan dilihat berpihak kepada Halimey, dengan 21,329 daripada 23,500 undi yang dikira. Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini berkata peratusan keluar mengundi adalah sekitar 44% daripada 53,492 pengundi Seri Setia.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan PH memenangi 10 dan PAS dua daripada 21 pusat mengundi.

Keputusan itu disusun oleh Institut Darul Ehsan.

Sehingga hari ini, pilihan raya kecil Sg Kandis memegang rekod peratusan keluar mengundi paling rendah iaitu pada 47%.

Barisan Nasional tidak bertanding untuk memberi laluan kepada PAS dalam pertembungan satu lawan satu dengan PH.

BN dan PAS menggunakan pilihan raya kecil itu sebagai medan ujian untuk kerjasama mereka bagi melihat sama ada ahli parti terbuka untuk mengundi satu sama lain.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Shaharuddin mendapat 29,250 undi untuk menewaskan calon Barisan Nasional Yusoff M Haniff (9,878) dan calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dengan majoriti 19,372 undi. Calon bebas S Vigneswaran LM Sanasee hanya mendapat 217 undi.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya Shaharuddin Badaruddin akibat kanser pada 2 Ogos lalu.– 8 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen